Malaysia Airlines terbang semula ke Jeddah, Madinah mulai esok, Doha masih digantung

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines akan menyambung semula penerbangan masuk dan keluar dari Jeddah dan Madinah buat sementara waktu pada 4 hingga 8 Mac ini.
Ia berikutan penggantungan perkhidmatan yang dimulakan sejak 28 Februari lalu selepas penutupan ruang udara di beberapa kawasan di Timur Tengah.
Bagaimanapun, perkhidmatan ke Doha akan kekal digantung sehingga 7 Mac ini memandangkan syarikat penerbangan itu sedang menilai keadaan keselamatan, kata Malaysia Aviation Group (MAG) melalui satu kenyataan pada Selasa.
Semua penerbangan lain, termasuk perkhidmatan ke London dan Lapangan Terbang Paris Charles de Gaulle kekal mengikut jadual, beroperasi pada laluan alternatif jauh dari zon konflik yang terjejas.
"Penumpang yang terjejas sedang dimaklumkan dan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif jika perlu.
"Penumpang dinasihatkan untuk mengemas kini butiran hubungan mereka melalui 'My Booking' bagi perkembangan terbaharu," kata MAG.
Bantuan juga boleh didapati melalui Sembang Langsung di laman web atau hubungi Pusat Hubungan Global Malaysia Airlines pada 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (di luar Malaysia).
"Keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapal adalah keutamaan kami," kata kumpulan itu.
MAG berkata, dengan penyambungan semula penerbangan, Malaysia Airlines terus mengambil langkah proaktif untuk melindungi operasi termasuk menggunakan laluan penerbangan alternatif bagi mengelak kawasan terjejas.
Selain itu, mengekalkan koordinasi rapat dengan pihak berkuasa penerbangan dan rakan kongsi lapangan terbang, mengukuhkan keselamatan dalam penerbangan serta prosedur operasi, memastikan penumpang dimaklumkan dengan kemas kini selain memberikan sokongan tepat pada masanya.
"Malaysia Airlines akan terus memantau perkembangan dengan teliti termasuk mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai. - Bernama
Ringkasan AI
- Malaysia Airlines akan menyambung semula penerbangan masuk dan keluar dari Jeddah dan Madinah pada 4-8 Mac 2026 setelah penggantungan perkhidmatan akibat penutupan ruang udara di Timur Tengah
- Perkhidmatan ke Doha akan kekal digantung sehingga 7 Mac 2026 kerana penilaian keadaan keselamatan yang sedang dijalankan
- Penerbangan ke destinasi lain seperti London dan Paris akan terus beroperasi mengikut jadual melalui laluan alternatif yang mengelak zon konflik
- Penumpang yang terjejas oleh penggantungan perkhidmatan ini akan dihubungi untuk pengaturan perjalanan alternatif
- Malaysia Airlines menekankan keselamatan penumpang dan anak kapal sebagai keutamaan, seraya mengambil langkah proaktif termasuk menggunakan laluan penerbangan alternatif dan mengekalkan koordinasi dengan pihak berkuasa penerbangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
