Perang Asia Barat: Lebih 200 jemaah Andalusia lanjut tempoh tinggal di Makkah

PUTRAJAYA – Lebih 200 jemaah umrah kendalian Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) terpaksa melanjutkan tempoh tinggal di Makkah susulan pembatalan beberapa penerbangan bermula Jumaat lalu akibat konflik serantau di Asia Barat.
Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, pembatalan melibatkan penerbangan Malaysia Airlines pada 27, 28 Februari dan 1 Mac menyebabkan jadual kepulangan sebahagian jemaah terjejas.
“Adakah terkesan? Jawapannya ya dan tidak kerana apabila perang bermula, semua penerbangan dibatalkan dan kita tidak boleh mengawal (perang),” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, kesemua jemaah yang terlibat kini ditempatkan di dua hotel di Makkah yang telah dipajak oleh syarikat, sekali gus memastikan kebajikan mereka kekal terpelihara.
“Mereka baik-baik sahaja. Makanan, tempat tinggal dan aktiviti berjalan seperti biasa. Tiada masalah,” jelas beliau.
Menurutnya, majoriti jemaah memahami situasi semasa memandangkan konflik tersebut berada di luar kawalan mana-mana pihak dan bersedia menunggu sehingga operasi penerbangan kembali stabil.
Bagaimanapun, terdapat segelintir yang mempunyai komitmen di Malaysia dan memilih untuk pulang lebih awal dengan perbelanjaan sendiri.
Dalam masa sama, Ida Riswana menjelaskan Andalusia mengambil langkah alternatif dengan membeli tiket baharu melalui Saudi Airlines bagi memastikan sebahagian jemaah dapat diterbangkan pulang.
“Sepatutnya 85 orang terbang dengan Malaysia Airlines, tetapi tidak dapat. Jadi kami beli tiket baharu dan mereka terbang pukul 2 pagi serta sudah selamat sampai,” katanya.
Mengulas implikasi kewangan, beliau mengakui terdapat sedikit kesan, namun menegaskan keadaan itu berpunca daripada faktor luar jangka.
“Nak kata tidak ada kerugian, mungkin ada sedikit. Tiada siapa menjangka perang berlaku dan semua pihak perlu menerima keadaan,” jelas beliau.
Menurut beliau, Andalusia mempunyai tempahan blok penerbangan lebih awal dengan Malaysia Airlines, justeru perancangan seterusnya bergantung kepada keputusan operasi syarikat penerbangan itu yang mengambil pendekatan berhati-hati atas faktor keselamatan.
“Kita kena tunggu sehingga mereka terbang semula. Buat masa ini kita pantau setiap hari,” katanya.
Dalam keadaan tidak menentu itu, beliau menegaskan keutamaan syarikat adalah memastikan keselamatan serta keselesaan jemaah terus terjamin sepanjang tempoh lanjutan berada di Tanah Suci.
Ringkasan AI
- Lebih 200 jemaah umrah terpaksa melanjutkan tinggal di Makkah kerana pembatalan penerbangan akibat konflik serantau
- Pembatalan penerbangan oleh Malaysia Airlines pada 27, 28 Februari dan 1 Mac terjejas jadual kepulangan jemaah
- Jemaah ditempatkan di dua hotel di Makkah dengan makanan, tempat tinggal dan aktiviti disediakan
- Andalusia mengambil langkah alternatif dengan membeli tiket baru melalui Saudi Airlines untuk memulangkan sebahagian jemaah
- Konflik serantau dan pembatalan penerbangan menyebabkan sedikit kesan kewangan kepada Andalusia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

