MATTA Fair Perak ke-36: Lebih besar, lebih banyak tawaran

Wendy (empat dari kiri) bersama ahli jawatankuasa MATTA Perak mempromosikan MATTA Fair Perak yang akan berlangsung pada Mac depan di Stadium Indera Mulia.
Wendy (empat dari kiri) bersama ahli jawatankuasa MATTA Perak mempromosikan MATTA Fair Perak yang akan berlangsung pada Mac depan di Stadium Indera Mulia.
A
A
A

PERSATUAN Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cawangan Perak menyasarkan jualan kira-kira RM22 juta menerusi penganjuran MATTA Fair Perak ke-36 yang akan berlangsung pada 7 dan 8 Mac 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini.

Pengerusi MATTA Perak, Wendy Shin berkata, pameran pelancongan pengguna terbesar di Perak itu dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung dengan penyertaan lebih 130 reruai pameran melibatkan lebih 30 pemain industri pelancongan tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, edisi Mac 2026 merupakan antara yang terbesar menawarkan pelbagai pakej percutian merangkumi pelancongan domestik, pelancongan luar negara, percutian pelayaran, lawatan jarak jauh antarabangsa, pelancongan alam semula jadi serta percutian singkat dalam negara.

"Selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, pameran kali ini memberi penekanan kepada promosi pelancongan domestik dengan menampilkan pakej ke tanah tinggi, pulau, bandar warisan dan laluan gastronomi di seluruh Semenanjung serta Malaysia Timur.

"Pengunjung turut ditawarkan itinerari khas berfokuskan budaya, kesejahteraan, alam semula jadi dan warisan, selain pakej pelancongan luar negara termasuk destinasi serantau Asia, Eropah serta pakej pelayaran," katanya kepada pemberita di Pejabat MATTA Cawangan Perak di Ipoh pada Isnin.

Dalam pada itu, Wendy turut mengumumkan RHB Bank sebagai rakan bank rasmi, sekali gus membuka peluang kepada pengunjung menikmati promosi eksklusif, tawaran kewangan menarik serta perkhidmatan perbankan sepanjang pameran berlangsung.

Katanya, selain itu MATTA Buyers’ Contest juga kembali dianjurkan apabila pengunjung yang berbelanja minimum RM100 berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk baucar pelancongan MATTA, tiket penerbangan pergi-balik, penginapan hotel, pas taman tema dan lain-lain.

Majlis perasmian pameran dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 7 Mac 2026 jam 6 petang dan akan disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee.

Kemasukan adalah percuma dan pameran dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 9 malam sepanjang dua hari penganjuran.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui Facebook @mattaperak dan Instagram @mattaperak.

Ringkasan AI

  • MATTA Fair Perak ke-36 dengan sasaran jualan RM22 juta akan diadakan pada 7 dan 8 Mac 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh
  • Menarik lebih 25,000 pengunjung dan penyertaan lebih 130 reruai pameran dari lebih 30 pemain industri pelancongan
  • Pameran menawarkan pelbagai pakej percutian termasuk pelancongan domestik dan antarabangsa serta pelayaran
  • Terdapat penekanan pada promosi pelancongan domestik sesuai dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026
  • RHB Bank adalah rakan bank rasmi yang menawarkan promosi eksklusif dan MATTA Buyers' Contest untuk pengunjung

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!