RM100 juta bantu golongan terkesan PKP

Annuar ketika sidang media pada Majlis Penyampaian Bantuan kepada Golongan Asnaf dan B40 di Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. - Bernama
Annuar ketika sidang media pada Majlis Penyampaian Bantuan kepada Golongan Asnaf dan B40 di Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. - Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 100,000 orang akan menerima bantuan dan manfaat di bawah Inisiatif Wilayah Cakna melibatkan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, peruntukan tersebut termasuk pengagihan bantuan dalam bentuk makanan dan barangan, pengecualian bayaran sewa selama enam bulan, sumbangan tunai kepada golongan miskin bandar serta peniaga kecil dan penjaja.

"Sebelum ini, di bawah inisiatif Wilayah Cakna, kita memperuntukkan lebih RM63 juta namun selepas pengumuman Bantuan Prihatin Nasional dibuat, kita selaraskan dan kini kita menanggung kira-kira RM100 juta untuk bantuan tersebut," katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada wakil dari 200 penerima asnaf dan B40 di Putrajaya yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta komuniti Putrajaya yang disahkan dijangkiti koronavirus (Covid-19).

Annuar beramah mesra bersama wakil penerima, Mohd Yaakob Ahmad (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Bantuan kepada Golongan Asnaf dan B40 di Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. - Bernama
Annuar beramah mesra bersama wakil penerima, Mohd Yaakob Ahmad (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Bantuan kepada Golongan Asnaf dan B40 di Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. - Bernama

Annuar berkata, bagi bantuan tunai, agensi terlibat diminta mempermudah dan menyegerakan pemberian kepada golongan yang layak selewat-lewatnya 10 April ini.

Katanya, bantuan tersebut termasuklah bantuan tunai dari Inisiatif Wilayah Cakna dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada golongan asnaf dan berpendapatan rendah serta bantuan 'one-off' RM500 kepada peniaga kecil dan penjaja.

"Walaupun jumlah bantuan yang diberikan tidak banyak tetapi bagi keluarga yang memerlukan ianya sangat mustahak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi penerima yang tidak mempunyai maklumat lengkap seperti maklumat akaun bank, pegawai terbabit akan pergi ke rumah bagi menyampaikan sumbangan. - Bernama