Garrido nakhoda baharu Sabah FC

A
A
A

 

SABAH FC secara rasmi melantik bekas pengendali skuad Bawah 23 (B-23) negara, Juan Torres Garrido sebagai pengendali baharu skuad Badak.

 

Pelantikan pengendali kelahiran Sepanyol itu diumumkan pengurus pasukan, Mohd Arziz Afizy pada Rabu.

 

Menurut Arziz, Garrido mengambil alih tugas daripada Alto Linus yang sebelum ini menggalas peranan sebagai pemangku pengendali susulan peletakan jawatan Jean-Paul de Marigny pada Disember lalu.

 

Sebagai rekod, Alto kini kembali menjalankan tugas sebagai penolong pengendali.

 

Artikel Berkaitan:

“Garrido akan memulakan tugas rasminya dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas, Sabtu ini,” katanya.

 

Arziz berkata, pengalaman Garrido mengendalikan skuad B-23 negara serta pengetahuannya mengenai Liga Malaysia (Liga-M) menjadi antara faktor utama pemilihannya.

 

Beliau yakin kehadiran Garrido mampu membawa perubahan positif kepada pasukan, khususnya dalam usaha memperbaiki kedudukan Sabah dalam saingan Liga-M 2025/26.

 

“Fokus utama kami juga adalah untuk mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran 2025/26,” katanya.

 

Selain itu, Arziz berharap para pemain dapat memberikan komitmen sepenuhnya, menunjukkan disiplin tinggi dan cepat menyesuaikan diri dengan pendekatan latihan yang diperkenalkan.

 

“Dengan semangat berpasukan yang kukuh dan kesungguhan semua pihak, saya yakin Sabah FC mampu mencapai keputusan yang lebih baik selepas ini,” katanya.

 

Sabah kini menduduki tangga ke-11 Liga Super dengan 14 mata selepas 15 perlawanan. – Bernama

 

Ringkasan AI

  • Sabah FC melantik Juan Torres Garrido sebagai pengendali baru
  • Pengalaman Garrido dengan skuad B-23 negara dan Liga Malaysia menjadi faktor pemilihannya
  • Garrido memulakan tugasnya dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC
  • Tujuan utama adalah untuk memperbaiki kedudukan Sabah dalam Liga-M dan mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran
  • Komitmen, disiplin, dan penyesuaian dengan pendekatan latihan baru diharap dapat meningkatkan prestasi Sabah FC

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!