37 insiden kematian mahasiswa sepanjang 2021-2025, tiada kes jenayah - Adam Adli

KUALA LUMPUR - Sebanyak 37 kejadian kematian mahasiswa direkodkan di kampus universiti awam sepanjang tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025, namun tiada kes jenayah dilaporkan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, kebanyakan kes melibatkan kemalangan dan kematian mengejut.
"Kebanyakannya adalah kemalangan sebanyak 18 kes dan kemudian kematian mengejut 19 kes. Alhamdulillah, jenayah tidak pernah direkodkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai statistik kejadian di institusi pengajian tinggi (IPT) yang meragut nyawa pelajar dalam lima tahun kebelakangan ini serta perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang kementerian bagi memastikan perlindungan serta keselamatan kampus ditambah baik secara menyeluruh.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengeluarkan arahan rasmi kepada semua IPT awam dan swasta supaya melaksanakan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh dan berkala.
"Untuk penambahbaikan di masa depan, kita setiasa perkasakan langkah baharu… merangkumi semakan terhadap sistem keselamatan di kampus dan kediaman, juga pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta laluan keselamatan yang terang dan selamat,” katanya.
Menurut Adam Adli, semakan turut dibuat terhadap prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan dan kecemasan, termasuk prosedur keluar masuk pelawat di asrama serta tindakan respons pantas sekiranya berlaku insiden.
Beliau berkata, kementerian juga membangunkan manual rujukan permohonan dan penggunaan kenderaan bukan milikan universiti dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Pasukan Petugas Kebajikan Mahasiswa Universiti Awam bagi memastikan penggunaan kenderaan dilaksana secara terancang, telus serta menepati piawaian keselamatan, kewangan dan tatacara urus.
Beliau berkata, kementerian turut memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan bagi meningkatkan rondaan keselamatan termasuk di kawasan sekitar kampus.
"Semua langkah ini adalah usaha untuk kita pastikan dalam jangka masa pendek, sederhana dan juga panjang, keselamatan mahasiswa terus terbela dan juga warga kampus kita sentiasa selamat,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Sebanyak 37 kejadian kematian mahasiswa direkodkan di kampus universiti awam dari 2021 hingga 2025 tanpa kes jenayah
- Kebanyakan kes ialah kemalangan sebanyak 18 dan kematian mengejut 19 kes
- Kementerian Pendidikan Tinggi mengeluarkan arahan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh kepada IPT awam dan swasta
- Ada penambahbaikan melalui pemasangan CCTV dan semakan SOP keselamatan dan kecemasan
- Kementerian bekerjasama dengan PDRM untuk meningkatkan rondaan keselamatan di kawasan sekitar kampus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
