[VIDEO] Caprice tuntut Rafizi padam kandungan didakwa fitnah, kirim sejambak ros tanda damai

A
A
A

KUALA LUMPUR – Penyanyi rap dan pempengaruh, Caprice menuntut bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menurunkan semua hantaran yang didakwa berunsur fitnah terhadapnya serta-merta.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 38, berkata, Ahli Parlimen Pandan itu diberikan masa sehingga jam 5 petang pada Sabtu untuk berbuat demikian sebelum tindakan undang-undang diambil.

Peguam yang mewakilinya, Mohd Rezan Ezra Muhamad Mosinal berkata, notis tuntutan telah dihantar melalui e-mel kepada pihak berkenaan kira-kira jam 2.30 petang pada Jumaat.

"Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk menarik balik hantaran berkaitan, memadam semua hantaran yang didakwa berunsur fitnah serta menghentikan sebarang kenyataan berunsur fitnah.

"Notis itu turut menuntut satu permohonan maaf secara terbuka dibuat," katanya dalam sidang akhbar di Bangsar South di sini pada Jumaat.

Mohd Rezan Ezra memaklumkan, sekiranya tuntutan untuk menurunkan kandungan yang dipersoalkan itu gagal dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, tindakan seterusnya akan diambil terhadap Rafizi.

Caprice (kanan) ketika sidang akhbar di Bangsar South pada Jumaat.
Caprice (kanan) ketika sidang akhbar di Bangsar South pada Jumaat.

Tambah beliau, keputusan untuk meneruskan tindakan lanjut bergantung sepenuhnya kepada Caprice.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Caprice berkata, beliau memohon maaf kepada Ahli Parlimen Pandan terbabit, sekali gus menegaskan tidak pernah membuat tuduhan berkaitan rasuah RM2.5 bilion seperti yang diperkatakan.

"Cap tidak pernah menyebut RM2.5 bilion atau rasuah. Tiada video saya yang menyebut RM2.5 bilion atau rasuah.

"Semua yang saya tanya adalah soalan sama ada isu ini boleh menjadi konflik kepentingan, ya atau tidak," katanya.

Jelas aktivis itu, beliau juga jarang mengadakan sidang akhbar, namun bertindak demikian bagi menjawab kekeliruan serta menjelaskan pendirian sebenar berhubung perkara tersebut.

Caprice turut merayu agar isu berkenaan tidak dipolitikkan dan tidak diseret ke dalam konflik politik semasa.

Caprice memaklumkan hanya meminta penjelasan berhubung isu berkaitan.
Caprice memaklumkan hanya meminta penjelasan berhubung isu berkaitan.

Beliau menegaskan, niatnya hanya untuk bertanya soalan yang dianggap relevan serta menjalankan peranan sebagai individu yang memberi ulasan terhadap isu semasa.

"Apa yang Cap hendak sampaikan hari ini, niat Caprice tidak pernah untuk menjatuhkan sesiapa. Jika dilihat semula, ia soalan yang relevan," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau mengirim sejambak bunga ros kepada bekas Menteri Ekonomi itu sebagai gimik untuk berdamai.

Menurutnya, pemberian sembilan kuntum bunga ros merah melambangkan hasratnya untuk berdamai dan menamatkan pertikaian secara profesional, selari dengan semangat Ramadan.

"Dalam tempoh tujuh hari sebelum bunga ros ini layu, harap kita boleh berdamai sempena Ramadan ini," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Caprice menuntut Datuk Seri Rafizi Ramli menarik balik dan memadam hantaran berunsur fitnah serta memohon maaf secara terbuka
  • Ahli Parlimen Pandan diberi masa sehingga jam 5 petang pada Sabtu untuk memenuhi tuntutan sebelum tindakan undang-undang diambil
  • Notis tuntutan dihantar melalui e-mel oleh peguam Caprice pada Jumaat
  • Caprice berkata, beliau tidak pernah membuat tuduhan rasuah RM2.5 bilion terhadap Rafizi
  • Mengirim sejambak bunga ros kepada Rafizi sebagai simbolik berdamai sempena bulan Ramadan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!