UMP tangguh P&P termasuk dalam talian sehingga 14 April

UMP menangguhkan semua operasi perkhidmatan dan P&P termasuk dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April ini.
UMP menangguhkan semua operasi perkhidmatan dan P&P termasuk dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April ini.
A
A
A

KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menangguhkan semua operasi perkhidmatan serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) termasuk dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Prof Ts Dr Mohd Rosli Hainin berkata, keputusan itu juga merujuk kepada saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam pengendalian program akademik di setiap institusi pendidikan tinggi ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Menurutnya, ia juga mengambil kira keberadaan pelajar yang majoritinya berada di kampung dan atas kepentingan keselamatan serta kebajikan pelajar.

“Tempoh PKP selama lebih empat minggu dalam menangani penularan wabak Covid-19 ini pastinya memberi kesan terhadap jadual pengkuliahan di semua institusi pendidikan termasuk UMP.

"Justeru, pihak universiti juga akan membuat pindaan terhadap kalendar akademik bagi semester II, sesi 2019/2020 yang dibentangkan dalam Mesyuarat Senat Universiti pada 1 April lalu,” katanya.

Mohd Rosli berkata, dalam tempoh itu, pihak universiti turut mengadakan beberapa siri latihan secara dalam talian (e-Learning) kepada staf akademik bagi memantapkan kaedah pembelajaran melalui Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (CIReL).

Beliau berkata, kursus itu merangkumi kepelbagaian pelantar dan aplikasi, kaedah P&P dan pilihan dalam pengendalian penilaian secara dalam talian yang boleh disesuaikan dengan kursus pengajian yang diikuti pelajar.

"Dari aspek aplikasi Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) UMP (KALAM), sistem ini telah dibuat uji lari sejak awal Februari lalu semasa keperluan penggunaan pelajar pada tahap yang optimum secara serentak dengan capaian internet kepada sistem ini di waktu puncak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelajar berada dalam kelompok celik teknologi dan mampu mengadaptasikan penggunaan teknologi P&P yang diguna pakai selain berpengalaman dengan sistem ini.

Jelasnya, hasil kajian maklum balas dijalankan universiti ke atas pelajar baru-baru ini juga mendapati lebih 80 peratus pelajar bersedia menggunakan e-Learning dan baki hampir 20 peratus kurang bersedia kerana berada di kawasan yang mempunyai liputan capaian internet yang rendah.

Mohd Rosli berkata, para pensyarah mempunyai beberapa alternatif sama ada mengadakan sesi P&P secara segerak (synchronous) atau secara tidak segerak (asynchronous) mahupun berasaskan tugas-tugas tertentu.

"Berada dalam tempoh PKP ini, saya nasihatkan pelajar memanfaatkan masa dengan membuat ulang kaji dan sekiranya mempunyai akses internet dapat dimanfaatkan untuk berinteraksi bersama pensyarah dan rakan dalam memantapkan pemahaman," katanya.

Sementara itu, pihak universiti turut memastikan keselamatan dan kebajikan seramai lebih 800 pelajar yang kini berada dalam kampus termasuk menyediakan makanan, kit kebersihan dan memastikan tahap kesihatan berada pada tahap baik serta menjaga jarak sosial semasa berhubung bagi mengelak aktiviti berhimpun.