Dron tentera udara AS terhempas di perairan pantai barat Korea Selatan

Reaper mampu menjalankan misi pengumpulan maklumat perisikan, penyelarasan dan peninjauan
Reaper mampu menjalankan misi pengumpulan maklumat perisikan, penyelarasan dan peninjauan
A
A
A

SEOUL - Sebuah dron MQ-9 Reaper milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) terhempas di perairan pantai barat Korea Selatan pada Isnin ketika menjalankan misi rutin, menurut pegawai tentera.

Dron itu terhempas berhampiran Pulau Maldo-ri di barat bandar Gunsan, kira-kira 180 kilometer ke selatan Seoul, lapor Agensi Berita Yonhap yang memetik pegawai berkenaan.

Sayap Pejuang Ke-8 Amerika Syarikat yang berpangkalan di Pangkalan Udara Kunsan di Gunsan berkata dron itu terlibat dalam satu "insiden” ketika menjalankan misi rutin pada kira-kira 4.35 pagi.

"Tiada kecederaan atau kerosakan terhadap harta awam dilaporkan berkaitan insiden ini dan siasatan sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Usaha mencari dilaporkan sedang dijalankan untuk mengapungkan semula dron berkenaan.

Insiden itu berlaku selepas tentera AS menubuhkan sebuah unit peninjauan yang mengoperasikan dron di Pangkalan Udara Kunsan pada September.

Sebelum ini, tentera AS hanya menempatkan dron Reaper di Korea Selatan secara bergilir-gilir.

Reaper mampu menjalankan misi pengumpulan maklumat perisikan, penyelarasan dan peninjauan serta mempunyai jarak operasi 1,150 batu (1,850.74 km), menurut Tentera Udara Amerika Syarikat. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Sebuah dron MQ-9 Reaper milik Tentera Udara Amerika Syarikat terhempas di Korea Selatan
  • Dron terhempas berhampiran Pulau Maldo-ri di barat bandar Gunsan
  • Dron terlibat dalam insiden ketika menjalankan misi rutin
  • Tiada kecederaan atau kerosakan terhadap harta awam dilaporkan
  • Usaha mencari dan mengapungkan dron sedang dijalankan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!