70 tahun penubuhan, IKMa kekal teraju pembangunan koperasi

PETALING JAYA - Sambutan Jubli Platinum Institut Koperasi Malaysia (IKMa) bukan sekadar meraikan 70 tahun penubuhan malah menandakan tujuh dekad kecemerlangan dalam menerajui pendidikan dan latihan gerakan koperasi di Malaysia.
Sejak ditubuhkan pada 1956, IKMa agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membina legasi melalui pendidikan, penyelidikan serta khidmat nasihat konsisten kepada koperasi bagi melahirkan kepimpinan koperasi yang berintegriti dan profesional.
Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Mohamad Alimin berkata, IKMa memainkan peranan signifikan dalam membimbing, melatih dan memberi keyakinan agar koperasi terus melangkah ke hadapan.
“Sepanjang penubuhannya, IKMa telah membina modal insan koperasi yang berilmu, berintegriti dan profesional.
“Tahun 2026 menjadi detik istimewa apabila IKMa menyambut Jubli Platinum penubuhannya, menandakan kesinambungan peranan penting IKMa dalam membentuk masa depan koperasi negara bersama koperator,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Jom@Coop: Jelajah Platinum 2026 yang diadakan serentak dengan Sambutan Jubli Platinum IKMa bertemakan ‘‘Mendidik Koperasi Menjulang Legasi’ di Institut Koperasi Malaysia pada Khamis.
Tambah Mohamad, melalui Program Jom@Coop: Jelajah Platinum 2026 turun padang, IKMa mendengar denyut nadi koperasi dan membawa solusi yang benar-benar praktikal.
“Kejayaan IKMa melaksanakan 777 program latihan pada tahun lalu termasuk melalui Program Bimbingan Strategik dan Transformasi Digital (BESTARI) membuktikan komitmen berterusan untuk memperkasa koperator dengan ilmu dan kemahiran yang relevan,”katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor berkata, seiring 70 tahun penubuhannya, IKMa akan terus memperbanyak program latihan dan pembangunan untuk koperasi.
"Kami menyasarkan untuk melaksanakan kira-kira 650 program latihan pada tahun ini untuk ahli koperasi selain mahu menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik institut latihan awam negara,"katanya.
Dalam pada itu, penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) menjadi manifestasi komitmen IKMa dalam melahirkan generasi baharu koperator dan technopreneur yang berfikiran strategik, berani berinovasi serta mampu memimpin koperasi secara berdaya saing di peringkat nasional dan global.
Universiti ini direka untuk melahirkan generasi baharu koperator dan technopreneur yang strategik serta inovatif, menyediakan laluan pembangunan modal insan yang menyeluruh daripada peringkat latihan profesional sehingga ke peringkat akademik tertinggi.
Terkini, seramai 16 pelajar UKKM diluluskan menerima tajaan bagi pengajian Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dengan nilai keseluruhan tajaan mencecah RM4.08 juta untuk tempoh tiga tahun.
Ia hasil dua penajaan biasiswa utama iaitu Biasiswa Khas Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Biasiswa Tabung Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi (KWAPD) di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Dalam pada itu, IKMa turut melangkah ke era digital menerusi pengaktifan Persona Digital IKMa iaitu CikMa.
CikMa sebagai wajah dan suara digital rasmi IKMa bagi memudahkan komuniti koperasi mengakses maklumat, bimbingan dan latihan secara lebih pantas serta inklusif selari dengan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2030 (DigiKOP 2030).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

