Pahang optimis raih kutipan hasil lebih RM1 bilion tahun ini - Wan Rosdy

LIPIS - Kerajaan negeri optimis mampu mencapai kutipan hasil melebihi RM1 bilion tahun ini ekoran kutipannya setakat ini telah mencecah RM950 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian tersebut dapat mengekalkan prestasi cemerlang empat tahun berturut-turut selepas meraih kutipan melebihi RM1 bilion sejak 2022.
Menurutnya, kutipan hasil setakat ini menunjukkan arah aliran positif hasil pengurusan kewangan berhemah serta pentadbiran cekap kerajaan negeri.
“(Kutipan hasil) telah mencecah RM950 juta dan saya sangat optimis (kutipan) melebihi RM1 bilion untuk empat tahun berturut-turut.
"Sebahagian besar hasil negeri akan terus dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif kebajikan," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Wira Madani dan Program Satelit Madani Rakyat Tahun 2025 Warga Felda Sungai Koyan di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam.
Ujarnya, daripada kutipan tersebut, sebanyak RM600 juta ditolak untuk membayar gaji penjawat awam dan kos lain-lain serta selebihnya akan dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk.
“Contohnya bantuan kepada anak-anak yang masuk universiti, menunaikan haji, kahwin kali pertama, program perkahwinan serta pemberian Rumah Rakyat Pahang secara percuma.
“Anak-anak yang melanjutkan pelajaran ke universiti akan menerima bantuan RM750, manakala program penghantaran pelajar ke luar negara juga akan diteruskan,” katanya
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Felda atas pemilihan Jelai sebagai lokasi penganjuran program tersebut.
“Saya sangat berbesar hati kerana di Felda seluruh Malaysia ini ada juga bekas-bekas tentera dan veteran yang telah berkhidmat kepada negara. Saya pasti mereka akan mengimbau kembali kenangan ketika berkhidmat dahulu.
“Saya harap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun mendatang,” katanya.
Program Jelajah Wira Madani dan Satelit Madani Rakyat itu julung kalinya dianjurkan di Jelai dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan serta pertubuhan tempatan.
Ringkasan AI
- Kerajaan negeri optimis kutipan hasil melebihi RM1 bilion tahun ini setelah mencapai RM950 juta setakat ini
- Pencapaian tersebut akan mengekalkan prestasi cemerlang empat tahun berturut-turut dengan kutipan melebihi RM1 bilion sejak 2022
- Kutipan hasil meningkat akibat pengurusan kewangan berhemah dan pentadbiran cekap kerajaan negeri
- Sebahagian besar hasil negeri akan dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif kebajikan
- Sebanyak RM600 juta dari kutipan hasil ditolak untuk membayar gaji penjawat awam dan kos lain-lain, selebihnya untuk bantuan rakyat seperti pendidikan universiti, haji, perkahwinan, dan Rumah Rakyat Pahang secara percuma
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

