Guna elektrik secara berhemah untuk diskaun optimum

TNB
TNB
A
A
A
KUALA LUMPUR - Pengguna dinasihatkan menggunakan elektrik secara berhemah bagi mendapatkan diskaun yang optimum daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Grup Komunikasi Korporat TNB dalam satu kenyataan berkata, meskipun kerajaan mengumumkan diskaun elektrik berperingkat kepada pengguna domestik melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19), penggunaan elektrik secara berhemah perlu diteruskan bagi mengelakkan pembaziran.

Menurutnya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 Mac ini, penggunaan elektrik di kediaman bakal meningkat kerana isi rumah menggunakan elektrik lebih kerap dan lebih lama dari kebiasaan.

"Peningkatan sebenar penggunaan elektrik ini hanya akan diketahui selepas berakhirnya pelaksanaan PKP kerana TNB menangguh sementara pembacaan meter dan menggantikannya dengan bil anggaran bagi mematuhi arahan PKP.

"Justeru, untuk mendapatkan diskaun yang optimum, pengguna perlu menggunakan elektrik secara berhemah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pengguna boleh mengimbangi keperluan menggunakan peralatan elektrik dengan selesa tanpa pembaziran melalui tips memastikan semua pintu tingkat dan lubang edaran udara tertutup rapi ketika menggunakan pendingin hawa serta menggunakan kipas bagi membantu menyejukkan hawa bilik agar suhu pendingin hawa dapat dilaraskan lebih tinggi.

Katanya, pengguna digalakkan membersihkan penapis pendingin hawa bagi memaksimumkan proses penyejukan, mengelakkan mencuci pakaian menggunakan air panas serta mengurangkan penggunaan pengering pakaian.

"Pengguna juga dinasihati menanggalkan palam peralatan elektrik apabila tidak digunakan dan sekiranya mandi mengurangkan alat pemanas air, kurangkan tempoh mandian.

"Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di 15454 dan Facebook TNB CareLine. Layanan dan tindakan sewajarnya akan diambil TNB," katanya.
Artikel Berkaitan:


Minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian diskaun berperingkat untuk pengguna domestik selama enam bulan bermula hari ini sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan bagi mengurangkan beban kepada rakyat akibat langkah PKP bagi menangani Covid-19.

PKP yang mula diperkenalkan pada 18 Mac lalu disambung dua minggu lagi sehingga 14 April 2020.

Diskaun sehingga 50 peratus diberikan kepada pelanggan domestik/kediaman dengan penggunaan elektrik hingga 200 kWj (kilo Watt sejam) sebulan, 25 peratus bagi penggunaan elektrik antara 201 hingga 300 kWj dan 15 peratus bagi penggunaan elektrik antara 301 hingga 600 kWj.

Penggunaan elektrik melebihi 600 kWj pula mendapat diskaun dua peratus.