Penganggur mengaku jemaah tabligh elak ditahan polis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

HULU LANGAT - Seorang penganggur sanggup menyamar sebagai jemaah tabligh yang menghadiri ijtimak di Masjid Sri Petaling bagi mengelak ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan selepas dia didapati berkeliaran di sebuah pangsapuri di Balakong kira-kira jam 2 pagi, kelmarin.

“Kita dapati lelaki berkenaan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan kerana enggan pulang ke rumah selepas dinasihatkan anggota bertugas yang melakukan rondaan.

“Ketika dalam tahanan, suspek memaklumkan dia adalah salah seorang daripada jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling,” katanya pada sidang media di Dewan Serbaguna Orang Ramai Sungai Lui di sini, hari ini

Menurutnya, pihaknya terus membuat pengasingan terhadap suspek dan memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum proses sanitasi dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Bagaimanapun hasil siasatan lanjut yang dilakukan terhadap ahli keluarga dan rakan suspek mendapati, dia bukan jemaah tabligh. Malah, ahli keluarga dan rakannya juga menafikan dia menghadiri perhimpunan berkenaan.

"Suspek kemudian mengaku dia memberi keterangan palsu kepada pihak polis kerana tidak mahu ditahan,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam perkembangan sama, Ahmad Dzaffir memaklumkan, seramai 44 individu ditahan kerana melanggar arahan PKP di daerah Kajang sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

“Sebanyak 22 kertas siasatan dibuka membabitkan 44 tangkapan dengan dua kes sudah dituduh pada minggu lalu dan semalam.

"Sepanjang tempoh PKP ini, terdapat tujuh sekatan jalan raya dilakukan di daerah ini membabitkan laluan masuk dan keluar dari Kajang,” katanya.