Dua lelaki lepaskan 15 das tembakan di rumah peniaga

Salah satu kawasan di Ludhiana,India.
Salah satu kawasan di Ludhiana,India.
A
A
A

LUDHIANA (India) – Dua lelaki menaiki motosikal melepaskan kira-kira 15 das tembakan ke arah rumah seorang peniaga hartanah di kawasan Begoana, Ludhiana, pada malam Ahad.

Menurut laporan The Times of India, kedua-dua suspek berhenti di hadapan kediaman mangsa sekitar jam 10 malam sebelum melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah pintu pagar utama dan dinding rumah.

Tembakan tersebut menyebabkan penduduk sekitar panik, namun mangsa serta keluarganya terselamat kerana berada di dalam rumah ketika kejadian berlaku.

Selepas serangan, polis menemui beberapa kelongsong peluru di lokasi serta sekeping nota ugutan yang menuntut bayaran sebanyak ₹5 juta (kira-kira RM285,000).

Ketua Polis Ludhiana berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai bermotifkan pemerasan oleh kumpulan jenayah tempatan yang aktif di negeri Punjab.

“Suspek melarikan diri menaiki motosikal tanpa nombor pendaftaran. Pasukan siasatan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian,” katanya.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan serangan itu dirancang bagi menakut-nakutkan mangsa yang aktif dalam beberapa urus niaga tanah di kawasan industri Ludhiana.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 (cubaan membunuh) dan 387 (ugutan pemerasan) Kanun Keseksaan India serta Akta Senjata Api 1959.

Pihak berkuasa juga sedang meneliti sama ada kumpulan berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket pemerasan lain yang menggunakan taktik sama untuk menuntut wang perlindungan daripada ahli perniagaan di Punjab.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, tiada tangkapan dibuat namun polis telah menubuhkan pasukan khas bagi memburu kedua-dua suspek tersebut.

 

Ringkasan AI

  • Dua lelaki menaiki motosikal melepaskan kira-kira 15 das tembakan ke arah rumah seorang peniaga hartanah di Ludhiana, India
  • Kedua-dua suspek berhenti di hadapan rumah mangsa pada malam Ahad dan melepaskan tembakan ke pintu pagar utama dan dinding rumah
  • Serangan tersebut menyebabkan kepanikan di kalangan penduduk sekitar tetapi mangsa dan keluarganya selamat
  • Polis menemui kelongsong peluru dan nota ugutan yang menuntut bayaran sebanyak ₹5 juta di lokasi kejadian
  • Siasatan awal polis mendapati kejadian bermotifkan pemerasan oleh kumpulan jenayah tempatan di Punjab

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!