Kereta dinaiki suami isteri terbakar selepas kemalangan

IPOH – Sepasang suami isteri nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar hampir 80 peratus dalam satu kemalangan di Kilometer (KM) 264.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, selepas Plaza Tol Ipoh di sini pada pagi Khamis.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran kenderaan itu pada jam 8.20 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba lapan minit kemudian.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati sebuah kereta terbakar hampir 80 peratus selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain.
“Difahamkan, terdapat dua mangsa iaitu sepasang suami isteri berusia lingkungan 68 tahun yang mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi sebelum ketibaan pihak bomba.
Menurutnya lagi, sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut telah dialihkan oleh kenderaan penunda.
Shazlean berkata, komander operasi melaksanakan penilaian awal dan seterusnya mengarahkan anggota menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan satu pancutan air bersumberkan tangki jentera.

Katanya, operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 8.33 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.25 pagi.
Dalam kejadian itu, seramai enam anggota bomba terlibat dalam operasi dengan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).
Ringkasan AI
- Sepasang suami isteri nyaris maut apabila kereta mereka terbakar hampir 80 peratus selepas kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan
- Pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak menerima panggilan kecemasan pada jam 8.20 pagi
- Anggota bomba dari BBP Meru Raya tiba di tempat kejadian lapan minit selepas panggilan
- Kedua-dua mangsa kereta tersebut berusia lingkungan 68 tahun dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan KKM
- Operasi pemadaman berjaya dikawal dan ditamatkan sepenuhnya dalam tempoh kira-kira satu jam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

