Tak menang tangan jahit topeng muka

Suhaida (kiri) menunjukkan penutup muka dan hidung yang berjaya disiapkan.
Suhaida (kiri) menunjukkan penutup muka dan hidung yang berjaya disiapkan.
A
A
A

KUALA NERUS - Bermula dengan membuat topeng muka untuk ahli keluarga kerana sukar mendapatkannya di pasaran, siapa sangka ia mampu menjana pendapatan.

Suhaida Mohd Saidi, 37, yang juga seorang tukang jahit kini tidak menang tangan menerima tempahan bukan sahaja di sekitar Terengganu, malah sehingga ke Kuala Lumpur, Klang dan Melaka.

Menurut Suhaida, ahli keluarganya mula mengiklankan produk itu di laman sosial bagi membantu orang lain yang sukar mendapatkan topeng muka.

"Tidak sangka pula selepas itu, permintaan sangat tinggi sehingga saya tidak menang tangan. Namun saya bersyukur kerana dapat menambah pendapatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Suhaida bekerja keras menyiapkan tempahan.
Suhaida bekerja keras menyiapkan tempahan.

"Pendapatan saya sebagai tukang jahit turut terjejas sepanjang tempoh ini kerana kurang menerima tempahan baju raya sedangkan kebiasaannya saya sibuk menyiapkan tempahan raya.

"Selain itu, saya juga gembira dapat membantu orang ramai yang tercari-cari topeng muka berikutan kekurangan bekalan di farmasi," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pak Katak di sini.

Jelas Suhaida, bagi menyiapkan tempahan, dia dibantu adik iparnya, Mohd Afqarazi Mohd Asri, 28, dan ahli keluarganya yang lain seawal jam 8 pagi setiap hari.

Artikel Berkaitan:

"Dalam sehari, kami mampu menyiapkan 50 keping topeng muka dan setakat ini sudah lebih 1,000 penutup muka dan hidung berjaya dijual.

Ahli keluarga turut membantu bagi menyiapkan tempahan.
Ahli keluarga turut membantu bagi menyiapkan tempahan.

"Saya menggunakan kain cotton dan ia dihasilkan mengikut permintaan pelanggan sama ada mahu yang bertali atau bergetah, dengan setiap satu dijual pada harga RM4.

"Pada peringkat awal, ada pelbagai jenis warna namun kesukaran mendapatkan bekalan kain menyebabkan pilihan warna yang ada terhad," katanya.

Penutup muka dan hidung yang ditempah pelanggan.
Penutup muka dan hidung yang ditempah pelanggan.