UMNO digesa tubuh sekretariat khas bantah pilihan raya Datuk Bandar KL

Mohd Puad
Mohd Puad
A
A
A

SHAH ALAM – UMNO digesa menubuhkan sekretariat khas bagi membantah kajian untuk mengadakan pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, usaha itu perlu bagi mengemukakan respons balas yang jelas, seperti tindakan parti itu ketika membantah Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA).

Menurutnya, cadangan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur merupakan isu serius kerana melibatkan aspek keselamatan, tadbir urus bandar serta kebebasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan.

“Kuala Lumpur mempunyai banyak pusat hiburan, pub, kelab malam, pusat urut dan kegiatan tidak bermoral. Terdapat juga pelbagai aktiviti dunia gelap, kartel dan gangster.

“Bukan sahaja pilihan raya itu akan dipengaruhi oleh parti politik dan sentimen perkauman, malah berpotensi dipengaruhi oleh kartel serta gangster,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Menurut Mohd Puad, situasi itu menimbulkan kebimbangan kerana proses pilihan raya berkenaan berkemungkinan dipengaruhi oleh sentimen politik kepartian dan perkauman, malah berpotensi dimanipulasi oleh kumpulan berkepentingan termasuk unsur jenayah terancang.

“Bayangkan di Kuala Lumpur, gangster menggunakan wang dan rangkaian mereka untuk menyokong calon tertentu. Pejabat Datuk Bandar tidak lagi bebas.

“Jika penjawat awam melakukan kesalahan, tindakan tatatertib boleh diambil, tetapi Datuk Bandar yang dipilih melalui pilihan raya perlu menunggu sehingga penggal mereka tamat.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, UMNO mesti membantah. UMNO perlu menubuhkan sekretariat khas dengan segera bagi mengemukakan respons balas, seperti mana UMNO membantah RUU URA,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • UMNO digesa menubuhkan sekretariat khas untuk membantah pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur
  • Usaha tersebut sebagai respons sepertimana ketika UMNO membantah RUU URA
  • Cadangan pilihan raya itu dilihat serius memandangkan ia melibatkan aspek keselamatan, tadbir urus dan kebebasan pentadbiran
  • Kebimbangan terhadap pengaruh parti politik, perkauman, serta kartel dan gangster dalam pilihan raya tersebut
  • Mohd Puad menekankan pilihan raya Datuk Bandar KL berpotensi dipengaruhi oleh kepentingan politik dan unsur jenayah terancang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!