Kalau selalu sangat ugut keluar, lama-lama jadi tumpul - Rafizi

RAFIZI
RAFIZI
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO mempunyai pilihan dan hak untuk menarik diri daripada Kerajaan Madani sekiranya merasakan isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan satu garis merah.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ugutan untuk menarik diri daripada kerajaan ini bukanlah perkara yang baharu dan itu hak setiap parti.

Menurutnya, sebelum ini DAP telah memberi bayangan jika reformasi pentadbiran tidak berlaku dengan lebih cepat, dalam tempoh enam bulan DAP boleh menarik diri dari Jemaah Menteri dan pentadbiran kerajaan.

"Bagaimanapun, kalau selalu sangat mengugut untuk keluar tetapi tidak keluar pun, lama-lama ugutan demi ugutan pada masa hadapan akan menjadi tumpul.

"Pengalaman saya sendiri, saya tidak gemar mengugut. Saya buat keputusan awal-awal, saya letakkan garis merah awal-awal.

"Kalau garis merah itu dilanggar, saya letak jawatan. Tidak perlu ugut, tidak perlu kerah penyokong, kalau garis merah dilanggar, letaklah jawatan," katanya menerusi Facebook pada Isnin.

Hari ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh secara terbuka menggesa parti itu menarik sokongan daripada Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, Umno lebih baik menjadi pembangkang yang bermaruah daripada terus berada dalam kerajaan yang disifatkannya sebagai menghina parti tersebut.

Kenyataan Dr Akmal itu dipercayai merujuk kepada hantaran Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang menyifatkan keputusan mahkamah berkenaan sebagai “satu lagi sebab untuk diraikan” menjelang hujung tahun.

Artikel Berkaitan:

Tambah Rafizi, begitu juga kepimpinan UMNO yang akan diperhatikan rakyat sama ada pengampunan Najib sebagai garis merah atau bukan.

"Sebab kalau ugutan keluar Kerajaan Madani terus dibuat tetapi sampai ke sudah tidak keluar, maksudnya isu pengampunan Najib ini bukanlah satu garis merah," ujarnya.

Beliau percaya kebebasan institusi di negara ini masih ada selagi Najib dilayan seadilnya sebagai seorang rakyat.

Selepas ini katanya, Najib boleh merayu ke Mahkamah Rayuan hingga ke Mahkamah Persekutuan.

"Kita bukan sahaja akan ikuti keputusan, kita akan teliti hujah penghakiman hakim-hakim, kerana rakyat membuat kesimpulan sama ada berlaku tekanan, atau campur tangan, berdasarkan kekuatan hujah penghakiman yang dibuat.

"Maka terpulang kepada pimpinan politik.Boleh ugut untuk keluar, boleh saling hentam menghentam," ujarnya.

Ringkasan AI

  • UMNO berhak menarik diri dari Kerajaan Madani jika isu pengampunan Najib menjadi garis merah
  • Ahli Parlimen Pandan menyatakan ugutan untuk menarik diri adalah hak setiap parti dan bukan perkara baru
  • Rafizi menyatakan bahawa mengugut tanpa tindakan nyata membuat ugutan menjadi tidak berkesan
  • Ketua Pemuda UMNO menggesa parti itu menjadi pembangkang yang bermaruah daripada terus dalam kerajaan yang menghina
  • Keputusan mengenai pengampunan Najib akan menunjukkan apakah itu merupakan garis merah bagi kepimpinan UMNO

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!