Lelaki ditahan kes ugut sebar video, gambar peribadi isteri orang

TAWAU - Tindakan seorang lelaki warga asing melakukan ugutan dengan menyebarkan video dan gambar peribadi seorang wanita membawa padah apabila ditahan polis di kawasan tepi gerai Kampung Merotai Besar di sini pada Jumaat.
Suspek berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 5.45 petang susulan laporan polis dibuat oleh mangsa berusia 20-an yang mendakwa menerima ugutan daripada bekas kenalannya melalui beberapa nombor telefon.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa mendakwa suspek mengugutnya dengan menularkan video dan gambar peribadinya jika gagal menyerahkan sejumlah wang kira-kira jam 10.35 pagi.
"Suspek juga dipercayai kerap menghubungi mangsa pada waktu malam dengan tujuan mengganggu dan merosakkan keharmonian rumah tangga mangsa.
"Disebabkan takut bahan peribadi itu disebarkan, mangsa mendakwa terpaksa memberikan sejumlah wang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, tangkapan yang dibuat oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai turut menemui pisau sepanjang kira-kira 16 sentimeter bersama suspek.
"Selain itu, turut dirampas dua telefon bimbit di dalam sebuah beg sandang dipercayai digunakan semasa kejadian berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Dalam pada itu, Jasmin menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk ugutan dan pemerasan, khususnya melibatkan ancaman penyebaran bahan peribadi.
Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang," katanya.
Ringkasan AI
- Lelaki warga asing ditahan kerana mengugut akan menyebarkan video dan gambar peribadi wanita
- Suspek ditahan di Kampung Merotai Besar, Tawau pada jam 5.45 petang Jumaat
- Mangsa wanita berusia 20-an menerima ugutan daripada bekas kenalan untuk menyerahkan wang
- Suspek kerap mengganggu mangsa malam hari, merosakkan keharmonian rumah tangganya
- Kes disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
