Polis siasat kes pelajar dipukul depan sekolah

JOHOR BAHRU – Polis membuka kertas siasatan susulan video tular di media sosial memaparkan seorang pelajar lelaki dipukul menggunakan tangan di hadapan sebuah sekolah, di sini pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, hasil semakan mendapati pihaknya menerima pada jam 7.13 petang daripada mangsa, pelajar sekolah berusia 17 tahun berhubung kejadian tersebut.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Khamis jam 2.30 petang, apabila mangsa dipukul oleh seorang suspek lelaki berusia 17 tahun bersama abangnya berumur 20 tahun yang tidak bekerja.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Perintah untuk Menyiasat (OTI) akan dipohon bagi meneruskan siasatan.
“Polis turut mengesan satu lagi kejadian berasingan melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dari sekolah sama yang didakwa diganggu dengan kelucahan melampau oleh suspek, pada jam 2 petang Rabu lalu
"Laporan polis berhubung kejadian itu diterima pada jam 5.43 petang, Khamis,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.
Tambah Raub, kes kedua disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, dan OTI juga akan dimohon untuk tindakan lanjut.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video kejadian di media sosial bagi mengelakkan salah faham serta spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 bagi membantu siasatan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Polis membuka kertas siasatan susulan video tular di media sosial memaparkan seorang pelajar lelaki dipukul di hadapan sebuah sekolah di Johor Bahru
- Kejadian dipukul berlaku pada Khamis jam 2.30 petang melibatkan suspek lelaki berusia 17 tahun bersama abangnya berumur 20 tahun
- Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dengan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya
- Satu lagi kejadian melibatkan pelajar perempuan berusia 13 tahun dari sekolah sama didakwa diganggu, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan
- Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan video kejadian dan diminta menghubungi Hotline IPD Johor Bahru Selatan bagi membantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
