Juruteknologi makmal pengsan disyaki akibat kebocoran gas di klinik kesihatan

GEORGE TOWN – Seorang kakitangan Klinik Kesihatan Jalan Perak di Taman Desa Green, Jelutong dilaporkan pengsan dipercayai akibat insiden kebocoran gas dalam kejadian pada pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.13 pagi itu, mangsa wanita berusia 43 tahun yang merupakan juruteknologi makmal mengalami sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.13 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada jam 9.27 pagi.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) segera menjalankan penilaian awal (size-up) bagi mengenal pasti punca kebocoran gas yang dilaporkan.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum ketibaan PKO di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, operasi melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dengan bantuan BBP Lebuh Pantai serta BBP Bayan Baru yang membawa pasukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT).
"Pemantauan lanjut oleh pasukan HAZMAT mendapati tiada sebarang unsur kebocoran gas atau tumpahan bahan kimia di kawasan terlibat.
“Bacaan kandungan oksigen di ruang terlibat adalah pada tahap normal iaitu 21 peratus.
“Pasukan bomba kemudian membuka tingkap bagi tujuan pengudaraan untuk menstabilkan kandungan udara dalam ruang berkenaan,” jelasnya.
Tambah beliau, setelah memastikan keadaan selamat, komander operasi melaporkan operasi terkawal pada jam 9.47 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.06 pagi.
"Operasi tersebut diketuai seorang pegawai dengan kekuatan seramai 15 anggota termasuk penyelia serta melibatkan sebuah jentera LFRT, satu unit HAZMAT dan sebuah kenderaan.
"Kes diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang kakitangan Klinik Kesihatan Jalan Perak pengsan akibat insiden kebocoran gas
- Mangsa, seorang wanita berusia 43 tahun, mengalami sesak nafas sebelum pengsan
- Penyelamat tiba di lokasi kejadian 14 minit selepas panggilan kecemasan diterima
- Tiada sebarang kebocoran gas atau bahan kimia dikesan oleh pasukan HAZMAT
- Operasi penyelamatan oleh bomba ditamatkan sepenuhnya dalam masa kira-kira dua jam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

