PRN Melaka, Johor: BN belum buat apa-apa keputusan - Tok Mat

SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) masih belum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama politik dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor akan datang.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, masih terlalu awal untuk bercakap soal pembahagian kerusi antara parti kerana ia masih belum diputuskan.
Bagaimanapun ujarnya, terpulang kepada pucuk pimpinan parti masing-masing untuk menentukan corak dan formula mereka, namun tegasnya BN masih belum memutuskannya lagi.
"Apabila kita sudah putuskan dalam parti, barulah kita berbincang dan itu pun kalau nak berbincang dengan orang lain.
"Kalau dalam parti pun belum lagi memutuskan apa-apa, tidak perlulah kita nak cakap apa-apa.
"Kalau parti nak pergi sendiri, sendirilah. kalau itu kata putus parti, kita ikut," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Sendayan di sini pada Isnin.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, paling menjadi keutamaan ketika ini adalah memastikan BN dapat kekalkan kemenangan di kedua-dua negeri terbabit.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara(Amanah), Khalid Abdul Samad yang dilaporkan menuntut agar rundingan pembahagian kerusi bagi PRN Melaka dan Johor dilakukan secara seimbang dan adil antara Pakatan Harapan (PH) dan BN, selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya, landskap politik semasa di kedua-dua negeri itu menyaksikan kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai oleh wakil BN susulan perkembangan politik sebelum ini.
Khalid turut menegaskan bahawa pendekatan ‘incumbent’ atau keutamaan kepada penyandang tidak lagi wajar diguna pakai kerana ia boleh menjejaskan keadilan kepada parti lain, khususnya dalam kalangan komponen PH.
Ringkasan AI
- Barisan Nasional masih belum buat keputusan tentang kerjasama politik untuk PRN Melaka dan Johor
- Masih terlalu awal untuk bincang pembahagian kerusi antara parti
- Keutamaan BN adalah memastikan kemenangan di kedua negeri tersebut
- Pembahagian kerusi hendak dilakukan seimbang dan adil antara PH dan BN
- Landskap politik semasa menunjukkan kebanyakan kerusi DUN dikuasai oleh wakil BN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

