PRN Melaka, Johor: Amanah tuntut agihan kerusi seimbang daripada BN

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

KOTA BHARU – Parti Amanah Negara (Amanah) menuntut agar rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dilakukan secara seimbang dan adil antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, landskap politik semasa di Melaka dan Johor menyaksikan kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai oleh wakil BN susulan perkembangan politik sebelum ini.

“Jika PRN Melaka dan Johor diadakan, sebagai usaha bersama dalam Kerajaan Perpaduan, rundingan kerusi mesti dilaksanakan dengan adil dan saksama untuk semua parti,” katanya dalam sidang akhbar pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Amanat Tahun Baharu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Ibu Pejabat KADA di sini.

Khalid menegaskan bahawa pendekatan ‘incumbent’ atau keutamaan kepada penyandang tidak lagi wajar diguna pakai kerana ia boleh menjejaskan keadilan kepada parti lain, khususnya dalam kalangan komponen PH.

“Kalau kita terus guna dasar incumbent, ia jelas tidak adil. Kami berharap UMNO dan BN bersikap terbuka untuk menyerahkan sebahagian kerusi yang disandang kepada rakan dalam kerajaan,” katanya.

Menurut Khalid, sekiranya rundingan gagal mencapai persetujuan, Amanah tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan sama ada untuk kekal menyokong pendekatan sedia ada atau menguji sokongan rakyat melalui pertandingan tiga penjuru.

“Keputusan kami bergantung kepada pendirian UMNO dan BN. Bila mereka nyatakan pendirian dengan jelas, barulah kami tentukan langkah seterusnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khalid menegaskan Amanah sentiasa bersedia untuk menghadapi PRN Melaka dan Johor pada bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjangkakan PRN Melaka akan diadakan dalam tempoh dua hingga 10 bulan akan datang.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pemimpin UMNO negeri perlu bekerja keras untuk mempertahankan prestasi cemerlang mereka selepas memenangi lebih tiga perempat kerusi dalam PRN sebelum ini.

Ringkasan AI

  • Amanah tuntut agihan kerusi seimbang dengan BN untuk PRN Melaka dan Johor
  • Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Ab Samad, nyatakan kebanyakan kerusi DUN di Melaka dan Johor dipegang oleh BN
  • Khalid menekankan pendekatan 'incumbent' tidak adil dan mahu UMNO & BN beri ruang kepada parti-parti dalam PH
  • Gagal capai persetujuan mungkin bawa kepada pertandingan tiga penjuru sebagai pilihan Amanah
  • Amanah bersedia menghadapi PRN Melaka dan Johor pada bila-bila masa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!