'Apa pun keputusan, itu hak MIC' – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kerjasama parti teras dalam gabungan itu termasuk MIC, terus diperkukuh.
Timbalan Perdana Menteri berkata, penyertaan semula Parti Progresif Penduduk (PPP) menjadikan gabungan parti di dalam BN bertambah stabil.
"Kami dalam BN berpendirian bahawa setiap parti gabungan khususnya parti teras, kita menghormati antara satu sama lain.
"MIC merupakan parti teras sejak zaman Parti Perikatan dahulu bersama-sama dengan MCA dan UMNO, dan kita harapkan agar parti teras di dalam BN ini dapat terus diperkukuh,” katanya yang juga Presiden UMNO.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah syarikat QL Innofood Park di sini hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, apa jua keputusan yang akan dibuat pada mesyuarat tergempar MIC adalah hak dan pendirian parti itu.
Semalam, MIC dilapor akan mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa terdekat bagi membincangkan penyertaan rasmi parti itu ke dalam Perikatan Nasional (PN).
Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata, walaupun PN sudah memberi lampu hijau kepada MIC untuk menyertai gabungan pembangkang itu, namun ia perlu dilaksanakan mengikut proses rasmi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
