Pelajar STPM maut langgar lembu melintas

MARAN – Seorang pelajar yang akan menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun ini maut selepas motosikal ditungganginya melanggar seekor lembu melintas dalam kemalangan di Jalan Felda Jengka 12 di sini pada Khamis malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, Izhar Hariz Izamuddin, 20, dari Taman Sagumpas 2, Temerloh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM VF3i sedang dalam perjalanan dari Bandar Pusat Jengka menghala ke Jengka 12.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar seekor lembu yang berada di tengah jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh ke bahu jalan sebelah kanan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati laluan berkenaan merupakan jalan lurus, namun gelap dan tidak mempunyai lampu jalan.
“Motosikal yang ditunggang mangsa turut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ringkasan AI
- Pelajar STPM maut selepas motosikal ditungganginya melanggar lembu di Jalan Felda Jengka 12
- Mangsa, Izhar Hariz Izamuddin, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala
- Mangsa dalam perjalanan dari Bandar Pusat Jengka menghala ke Jengka 12 ketika insiden
- Akibat pelanggaran, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala
- Laluan kejadian adalah jalan lurus tanpa lampu jalan, motosikal mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

