X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Dunia perlukan pendekatan saintifik lebih meluas

Dialog Maya Menteri-Menteri Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengenai koronavirus (Covid-19) dan Sains Terbuka yang berlangsung hari ini. - Foto Twitter Khairy
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berkata dunia memerlukan pendekatan saintifik lebih meluas bagi mendepani pandemik berikutnya yang melangkaui sains perubatan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pendekatan itu antara lain perlu merangkumi sosial, tingkah laku dan data saintis kerana pandemik mendatangkan kesan sosial yang mendalam.

Beliau melontarkan idea itu semasa Dialog Maya Menteri-Menteri Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengenai koronavirus (Covid-19) dan Sains Terbuka yang berlangsung hari ini, sambil memaklumkan perkembangan terkini situasi wabak tersebut di Malaysia.

“Saya turut membangkitkan keperluan segera untuk mewujudkan pusat simpanan antarabangsa bukan hanya untuk penyelidikan perubatan tetapi juga inovasi teknologi seperti kejayaan kejuruteraan balikan dalam menghasilkan peralatan penting yang akan menjadi sumber terbuka.

"Malaysia juga membangkitkan keperluan sumber terbuka untuk rekaan aplikasi bagi membantu pengesanan kontak dan amalan terbaik dalam mengimbangi keberkesanan aplikasi dan kerahsiaan data peribadi," katanya melalui ciapan di akaun Twitter.

Ahli Parlimen Rembau itu juga memaklumkan bahawa Malaysia berhasrat untuk mendengar pengalaman negara yang telah membangunkan kit ujian pantas (RTK) tetapi tidak mempunyai kadar ketepatan seperti ujian RT-PCR yang memiliki piawaian standard tinggi namun mengambil masa yang lebih lama untuk mendapatkan keputusan.-Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus