KBS sedia bawa pulang atlet Malaysia

Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan sukan kebangsaan, bersedia untuk membawa pulang atlet yang kini berada di luar negara jika keadaan memerlukan susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan berkata, KBS bersama MOM dan persatuan sukan, sentiasa memantau perkembangan dan keperluan atlet negara yang berada di luar negara dari semasa ke semasa.

"Atlet termasuk atlet profesional dinasihatkan berdaftar dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia atau Pejabat Konsulat Malaysia yang berdekatan untuk tujuan perkembangan dan laporan terkini jika ada sebarang keperluan kecemasan.

“Semua 48 atlet Malaysia, termasuk atlet profesional dan atlet di bawah persatuan sukan yang berada di luar negara kini dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.

Daripada jumlah tersebut, seramai 25 orang berada di bawah program Podium terdiri daripada sukan renang, berbasikal, olahraga, muay thai dan golf, manakala selebihnya ialah atlet di luar program iaitu lawan pedang, hoki ais, bola sepak, luncur ombak, mendayung, skating, golf, papan selaju dan ragbi.

Reezal Merican berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan sudah menghubung untuk mengetahui perkembangan dan keadaan atlet masing-masing selain menasihati atlet terlibat mematuhi perintah serta arahan yang dikuatkuasakan di negara terlibat.

"Institut Sukan Negara (ISN) akan terus memantau latihan dan laporan perkembangan atlet program Podium antaranya melalui teknologi seperti jam pintar dan kaedah dalam talian.

"ISN turut menasihati jurulatih dan atlet untuk membuat pengubahsuaian terhadap program latihan bagi mengekalkan kecergasan, fokus serta motivasi mengikut kesesuaian di negara masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, atlet terlibat berada di luar negara disebabkan beberapa faktor, seperti mengikuti pengajian tinggi (16 orang), latihan atau pertandingan (15 orang), mewakili kelab luar negara sebagai atlet profesional (sembilan orang), bermastautin secara tetap seramai tujuh orang, manakala seorang atlet sedang bercuti.

Atlet Malaysia kini berada di 13 negara iaitu Thailand seramai 15 orang, Amerika Syarikat (12), Australia (tujuh), Jerman (tiga), United Kingdom dan Jepun (masing-masing dua atlet), selain masing-masing seorang atlet di Kanada, Sweden, Perancis, Switzerland, Singapura, Taiwan dan Indonesia. - Bernama