Selangor perlu kejar standard tinggi JDT- Pan-gon

PENGENDALI Selangor FC (SFC), Kim Pan-gon mengakui skuad Gergasi Merah perlu bekerja keras untuk mengejar standard tinggi yang diletakkan oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) demi menjadikan saingan Liga Malaysia (Liga-M) lebih kompetitif dan sihat.
Bekas ketua jurulatih kebangsaan itu berkata, realiti semasa perlu diterima bahawa Selangor masih jauh ketinggalan berbanding skuad Harimau Selatan itu, namun usaha merapatkan jurang perlu dilakukan secara berperingkat.
Pada masa sama, beliau menghormati pencapaian dan kedudukan JDT ketika ini dan tidak menolak keperluan untuk belajar sesuatu daripada kelab gergasi tersebut.
“Saya rasa kita perlu menghormati JDT di mana mereka berada sekarang.
“Bagaimana keadaan mereka, kita perlu hormat. Kita perlu mengejar (taraf mereka) sedikit demi sedikit.
“Saya fikir jika kita berada di kedudukan yang lebih baik, liga akan menjadi lebih sihat. Kita mesti mengakui diri kita sendiri bahawa kita masih jauh ketinggalan.
“Jadi, kita mesti mengejar dan belajar sesuatu daripada mereka juga,” katanya.
Terdahulu, aksi menentang Negeri Sembilan menyaksikan Pan-gon mencatat kemenangan kedua berturut-turut susulan kemenangan tipis 1-0 SFC di laman sendiri.
Kemenangan itu menyaksikan SFC melonjak ke tangga kedua Liga Super.
Pan-gon kali pertama mengemudi SFC pada Sabtu lalu yang menyaksikan anak buahnya membelasah DPMM FC 5-2 di gelanggang lawan.
Ringkasan AI
- PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui skuad perlu bekerja keras untuk mengejar standard Johor Darul Ta'zim
- Selangor masih jauh ketinggalan berbanding JDT dan perlu merapatkan jurang tersebut
- Pan-gon menghormati pencapaian dan kedudukan JDT dan menyatakan keperluan untuk belajar daripada kelab tersebut
- Kemenangan terbaru SFC melawan Negeri Sembilan membawa mereka ke tangga kedua Liga Super
- Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut untuk SFC sejak Pan-gon mengemudi skuad tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
