Lelaki maut ditembak: Suspek tembak dari dekat guna senjata api semi automatik

Mohd Alwi berkata, polis masih menyiasat motif kes lelaki maut ditembak di hadapan sebuah kedai cuci kenderaan di kawasan Nibong Tebal.
Mohd Alwi berkata, polis masih menyiasat motif kes lelaki maut ditembak di hadapan sebuah kedai cuci kenderaan di kawasan Nibong Tebal.
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian tembakan di hadapan sebuah kedai cuci kenderaan di kawasan Nibong Tebal dan menyebabkan seorang lelaki maut dalam kejadian pada malam Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, dalam kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 malam mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai ditembak beberapa das di bahagian badan dan kaki oleh suspek yang tidak dikenali.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian melibatkan dua suspek lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

"Seorang daripada suspek dipercayai turun dari motosikal sebelum menghampiri mangsa dan melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat, manakala seorang lagi suspek menunggu di atas motosikal.

"Kedua-dua suspek dilaporkan memakai pakaian gelap dan bertopi keledar serta disyaki menggunakan sepucuk senjata api jenis semi automatik," katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Menurut Mohd Alwi, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden Mohd Hafzan Amrie Hashim di talian 012-8188389 bagi membantu siasatan.

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Polis sedang siasat motif kejadian tembakan di Nibong Tebal yang menyebabkan seorang lelaki maut
  • Mangsa ditembak beberapa das di badan dan kaki oleh suspek tidak dikenali
  • Dua suspek lelaki menaiki motosikal terlibat dalam kejadian itu
  • Suspek menggunakan senjata api jenis semi automatik
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!