Keadilan Kedah struktur semula organisasi

Mesyuarat MPN Kedah dipengerusikan Saifuddin turut membincangkan peranan pembangkang yang bertanggungjawab di DUN. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail
Mesyuarat MPN Kedah dipengerusikan Saifuddin turut membincangkan peranan pembangkang yang bertanggungjawab di DUN. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

ALOR SETAR – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah menegaskan sedia memperkukuh peranan pembangkang bertanggungjawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi fungsi semak dan imbang konstruktif demi kepentingan rakyat.

Pengarah Komunikasi MPN PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, peranan itu penting bagi memastikan tadbir urus negeri sentiasa telus dan berintegriti.

"PKR Kedah juga tekad melaksanakan pendekatan lebih tersusun dan berkesan bagi memastikan parti kekal relevan sebagai wadah perjuangan rakyat, selaras aspirasi reformasi serta tuntutan semasa masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Bilangan 1/2026 MPN Kedah telah diadakan bagi meneliti serta memperkukuh hala tuju organisasi parti di peringkat negeri, seiring keperluan memperkasa jentera dan kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik semasa serta mendatang.

"Mesyuarat antara lain membincangkan penstrukturan semula organisasi melalui gabungan kepimpinan berpengalaman dan baharu yang progresif bagi memperkukuh kekuatan parti serta meluaskan sokongan akar umbi di seluruh negeri.

"Tumpuan turut diberikan kepada perancangan gerak kerja strategik bagi memenangkan kembali kerusi Parlimen dan DUN Kedah, termasuk pengukuhan jentera pilihan raya, pemantapan agenda kebajikan rakyat serta pendekatan politik matang, berprinsip dan berpaksikan kepentingan awam," jelasnya.

Beliau berkata, mesyuarat juga menekankan keperluan untuk menonjolkan secara berkesan kejayaan serta inisiatif Kerajaan Madani yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Kedah, merangkumi aspek ekonomi, kebajikan, pendidikan, infrastruktur dan kesejahteraan sosial agar peranan serta sumbangan Kerajaan Persekutuan dapat difahami dengan lebih jelas.

Mesyuarat dipengerusikan, Pengerusi MPN Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!