Zahid dedah ada pihak lamar UMNO bentuk kerajaan

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa terdapat pihak tertentu yang cuba memberi lamaran kepada UMNO untuk bersama-sama membentuk sebuah kerajaan baharu.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan bahawa UMNO tidak akan mengkhianati rakan politiknya dan akan kekal setia bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan bagi mentadbir negara.
“Memang ada tawaran terhidang, ada yang merisik, ada yang datang cuba meminang. Namun sehingga hari ini, UMNO tetap melaksanakan amanah negara dan menyokong Kerajaan Perpaduan.
“Selagi asas negara dihormati, tiada yang dimungkiri, keikhlasan tidak dikhianati, UMNO akan memainkan peranan dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Jumaat.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO akan terus bersama kerajaan sedia ada selagi asas kenegaraan dihormati dan tiada sebarang pengkhianatan berlaku.
“Sekalipun ribut datang melanda, pokok mungkin condong ditiup angin, tetapi akarnya tetap mencengkam bumi.
“Jika ada bisikan iblis yang cuba memperlekehkan kesetiaan ini, jika kesabaran dianggap kelemahan dan cemuhan dihambur kepada UMNO, tindakan itu ibarat menyimbah api yang sedang marak,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ada pihak cuba membentuk kerajaan baru dengan UMNO
- Ahmad Zahid menegaskan UMNO akan kekal setia bersama Pakatan Harapan dalam Kerajaan Perpaduan
- UMNO bertekad untuk melaksanakan amanah negara dan menyokong Kerajaan Perpaduan
- UMNO akan terus bersama kerajaan selagi asas kenegaraan dihormati tanpa pengkhianatan
- Ahmad Zahid menyatakan kesetiaan UMNO tidak boleh diperlekehkan meskipun dihadapi cabaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

