Mayat lelaki Filipina dengan kesan koyakan di belakang kepala ditemui reput, berulat

Mayat seorang lelaki warga Filipina ditemukan dalam keadaan reput dan berulat di kawasan cerun Kilometer 67.7 Jalan Tulid–Tongod, Sook di sini pada Rabu.
Mayat seorang lelaki warga Filipina ditemukan dalam keadaan reput dan berulat di kawasan cerun Kilometer 67.7 Jalan Tulid–Tongod, Sook di sini pada Rabu.
A
A
A

KENINGAU - Mayat seorang lelaki warga Filipina ditemukan dalam keadaan reput dan berulat di kawasan cerun Kilometer 67.7 Jalan Tulid–Tongod, Sook di sini pada Rabu.

Mayat Joeped Gerasmia Cardiente, 45, ditemui oleh orang awam kira-kira jam 8 pagi dengan kesan koyakan pada bahagian belakang kepala.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan awal daripada anggota Balai Polis Tongod berhubung penemuan mayat berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kes tersebut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau kerana lokasi penemuan berada dalam kawasan pentadbiran Balai Polis Sook.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat tersebut ditemui di tepi jalan raya utama yang menghubungkan daerah Tulid dan Tongod. Terdapat cerun dengan anggaran 45 darjah sedalam tiga meter ke bawah dan lokasi adalah di kawasan semak samun.

"Keadaan mayat telah reput dan berulat terutamanya pada bahagian kepala dan perut namun dalam keadaan berpakaian lengkap termasuk berkasut. Anggaran tempoh kematian menurut penelitian awal sekitar seminggu yang lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian serta kawasan berhampiran tidak menemukan sebarang kesan pergelutan atau senjata yang dikaitkan dengan mangsa.

"Hasil pemeriksaan lanjut pada bahagian badan mayat mendapati terdapat satu kesan koyakan cetek pada bahagian bawah pusar kiri kepala sepanjang tujuh sentimeter yang belum dapat dipastikan sama ada ia adalah kesan pukul, tetakan, terjatuh ataupun hasil dari pereputan pada bahagian tersebut.

"Kesan berkenaan didapati tidak menembusi pada bahagian tengkorak mangsa. Selain itu juga tidak ditemui sebarang senjata seperti besi, kayu dan sebagainya di sekitar tempat kejadian," katanya.

Yampil turut memaklumkan bahawa kawasan penemuan mayat berkenaan adalah terpencil dan jauh dari penempatan penduduk.

"Tidak juga ditemui sebarang kenderaan mangsa di sekitar lokasi dan pemeriksaan awal pada mayat menemui beg pinggang dipercayai miliknya dan di dalam beg tersebut turut ditemui beg duit berisi mata wang Filipina dan Malaysia.

"Selain itu gambar mangsa berukuran pasport bersama beberapa kad identiti yang tertera negara Filipina tetapi tidak ditemui sebarang pasport dan telefon bimbit mangsa.

"Sementara itu, di dalam poket seluar jeans hadapan bahagian kiri mangsa ditemui alat dipercayai untuk menghisap syabu iaitu 'foil' dan juga pemetik api," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca kematian serta klasifikasi siasatan kes.

Ringkasan AI

  • Mayat seorang lelaki warga Filipina ditemukan reput dengan berulat di kawasan cerun di Sook, Keningau
  • Mayat tersebut, Joeped Gerasmia Cardiente berusia 45 tahun, ditemui dengan kesan koyakan pada bahagian belakang kepala
  • Lokasi penemuan mayat di tepi jalan raya utama menghubungkan Tulid dan Tongod, dalam keadaan berpakaian lengkap
  • Pemeriksaan lanjut tidak menemukan sebarang kesan pergelutan atau senjata yang dikaitkan dengan mangsa
  • Mayat tersebut dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat guna menentukan punca kematian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!