TNB belanja RM1j bantu 5,000 murid

Leo Moggie menyampaikan sumbangan kepada yang terlibat.
Leo Moggie menyampaikan sumbangan kepada yang terlibat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) membelanjakan RM1 juta bagi sumbangan kepada 5,000 murid sekolah dari 30 lokasi di Semenanjung dan Sabah menerusi Program 'Back To School' tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie, berkata, program kali keenam itu menyediakan bantuan keperluan persekolahan bernilai RM200 setiap seorang dalam bentuk sepersalinan pakaian seragam sekolah, beg dan alat tulis.

“Nilainya mungkin kecil untuk sesetengah keluarga tetapi besar maknanya kepada para ibu bapa penerima bantuan ini, khususnya yang mempunyai lebih daripada seorang anak yang masih bersekolah.

“Untuk tahun ini, 5,000 murid menerima kelengkapan sekolah, menjadikan lebih 30,000 penerima bantuan Back to School TNB sejak ia diperkenalkan pada 2013 dengan perbelanjaan sebanyak RM6.2 juta,” katanya sempena Majlis Penyerahan Pakaian Persekolahan Sesi 2019 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif itu adalah kesinambungan Program Tanggungjawab Korporat (CR) yang dilaksanakan sejajar dengan slogan TNB ‘Better. Brighter.’

“Slogan ini membawa maksud kami menerangi kehidupan rakyat bukan sahaja dengan menyalurkan tenaga elektrik untuk pencahayaan, tetapi juga melalui tiga bidang utama program CR kami, iaitu bidang pendidikan, sosio-ekonomi (termasuk sukan) dan pemuliharaan alam sekitar.

“Bagi Program Back to School ini diharap dapat mendorong dan menyuntik semangat anak-anak semua supaya terus berusaha gigih untuk berjaya dalam pelajaran masing- masing,” katanya.

Wajah ceria sebahagian daripada 400 penerima sumbangan Back To School 2019 yang diraikan TNB hari ini.
Wajah ceria sebahagian daripada 400 penerima sumbangan Back To School 2019 yang diraikan TNB hari ini.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, seramai 400 murid diraikan terdiri daripada Sekolah Kebangsaan Bangsar, Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Sekolah Kebangsaan Bukit Pantai, Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bandaraya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai.

Leo Moggie berkata, meskipun bantuan Back to School itu dikhususkan untuk murid berumur tujuh hingga 12 tahun, di Lembah Pantai ini kelonggaran dibuat atas dasar kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar atau dalam kata lain wujudnya miskin bandar.

“Seramai 54 pelajar daripada tiga sekolah menengah ini juga menerima tajaan berjumlah RM1,500 setahun untuk tempoh tiga tahun (2018-2020) bagi menampung keperluan asas persekolahan dari tingkatan tiga hingga tigkatan lima menerusi satu lagi program CR TNB iaitu program Bantuan Pendidikan B40.

“Sehingga kini, lebih RM1 bilion telah dibelanjakan oleh TNB untuk memberi manfaat kepada lebih 11,000 pelajar yang menerima tajaan, bantuan dan sokongan termasuk dermasiswa, biasiswa dan pinjaman boleh ubah, sejajar komitmen TNB memperkasakan pendidikan generasi pewaris serta membangunkan modal insan negara,” katanya.