[VIDEO] Ladang babi dipindah ke Bukit Tagar secepat mungkin

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perancangan untuk memindahkan ladang penternakan babi dari Kuala Langat dan Sepang ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor akan disegerakan sebelum hujung tahun ini.

Itu antara intipati perbincangan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim ketika menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selama 45 minit sebentar tadi.

Izham ketika sidang media di Pejabat MMKN pada Isnin.
Izham ketika sidang media di Pejabat MMKN pada Isnin.

Menurut Izham, isu tanah di Bukit Tagar juga perlu diselesaikan sesegera mungkin bagi membolehkan proses pemindahan ke ladang seluas 202.34 hektar itu dibuat.

Jelas beliau lagi, perbincangan itu turut menyentuh tentang keperluan untuk tidak lagi membenarkan pembaharuan lesen operasi babi.

“Dari segi pemberian lesen berdasarkan titah Sultan Sharafuddin dalam pertemuan tadi, tidak ada yang akan diperbaharui di kawasan Kuala Langat dan Sepang walaupun sementara. Lesen dikeluarkan hanya di Bukit Tagar.

“Ini bermakna kita kena percepatkanlah proses di Bukit Tagar. Tetapi, saya kena bawakan perkara ini ke dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) terlebih dahulu untuk memuktamadkannya.

“Isu ini sudah lama, jadi kami nak selesaikannya kerana ia berkaitan pencemaran bukan setakat bau, tetapi air juga. Ditambah pula demam babi Afrika (ASF) yang kritikal, kita mesti tangani isu ini dengan lebih lestari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pejabat Ahli MMKN Selangor di sini pada Isnin.

Izham turut mengambil maklum persoalan baginda berhubung keluasan ladang babi di Bukit Tagar yang disifatkan terlalu besar.

Jelasnya, Bukit Tagar dikenal pasti sebagai satu-satunya lokasi baharu penternakan babi di Selangor dan ia tertakluk kepada syarat ketat termasuk kewujudan zon penampan yang luas, sistem penternakan tertutup serta kaedah ‘zero discharge’ bagi mengelakkan pencemaran bau serta air.

“Tetapi syarat (di Bukit Tagar) memang ketat, antaranya mestilah ada penampan, kita akan sediakan penampan kemudian ia mesti dibuat tertutup supaya tidak ada kumbahan yang mengalir keluar.

“Ini antara syarat yang kita telah letak, ada 11 kesemuanya dan akan kita perincikan kemudian,” ujarnya.

Sementara itu, Izham menegaskan bahawa semua projek pemindahan dan pembangunan ladang babi baharu dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta tanpa melibatkan sebarang peruntukan kerajaan negeri.

Setakat ini dianggarkan 100,000 ekor babi diternak di Kuala Langat dan Sepang, melibatkan 115 ladang penternakan di kedua-dua daerah tersebut.

Ringkasan AI

  • Perancangan memindahkan ladang penternakan babi ke Bukit Tagar, Hulu Selangor akan disegerakan sebelum hujung tahun
  • Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor berbincang dengan Sultan Selangor tentang pemindahan tersebut
  • Isu tanah di Bukit Tagar perlu diselesaikan untuk proses pemindahan ke ladang seluas 500 ekar
  • Lesen penternakan babi hanya akan dikeluarkan di Bukit Tagar, tidak ada pembaharuan lesen di Kuala Langat dan Sepang
  • Pemindahan bertujuan mengelak pencemaran dan mengurus isu demam babi Afrika dengan lebih lestari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!