'Janji tak buat lagi'

Lima rakan termasuk seorang remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini atas kesalahan ingkar PKP.
Lima rakan termasuk seorang remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini atas kesalahan ingkar PKP.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - 'Kami minta maaf dan tidak akan ulang kesalahan'.

Itu rayuan dibuat lima rakan termasuk seorang remaja lelaki bawah umur yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam satu pemeriksaan polis semalam.

Empat daripada mereka, J Kalai Arasan, 18; C Logeswaran, 19; Tarama Rajih, 19 dan P Thivagar, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Kesemua mereka kemudiannya dikenakan hukuman satu bulan penjara dan denda RM1,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.

Bagaimanapun, tiada hukuman dikenakan ke atas seorang lagi rakan mereka berusia 17 tahun kerana mahkamah perlu menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan remaja berkenaan diikat jamin RM2,000 oleh seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima mereka didapati telah berhimpun bagi tujuan sosial di suatu kawasan tempat jangkitan iaitu di sebuah rumah di Taman Dovenby Sungai Siput (U) pada jam lebih kurang 8.30 malam, 29 Mac lepas.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu dalam rayuannya, keempat-empat tertuduh mengemukakan permohonan maaf kepada mahkamah dan meminta agar hukuman ringan dikenakan kerana ia merupakan kesalahan pertama dilakukan sepanjang pemantauan PKP.

Berdasarkan fakta kes, anggota polis yang membuat rondaan Op Covid-19 di kawasan itu telah memberi amaran agar kumpulan lelaki itu bersurai, namun mereka memberikan pelbagai alasan.

Selepas tiga kali amaran, mereka masih enggan beredar menyebabkan tangkapan dilakukan.