Semangat Jun Hao membara

KEMENANGAN aksi sulung Terbuka Malaysia 2026 menyuntik keyakinan pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao untuk meneruskan kempen di hadapan peminat di Axiata Arena pada Rabu.
Jun Hao, 26, mengakui kemenangan ke atas wakil China Wang Zheng Xing 21-17, 21-17 bukanlah sesuatu yang mudah kerana terpaksa bekerja keras terutamanya di penghujung perlawanan untuk memastikan kemenangan.
"Penutup musim lepas saya tidak begitu baik, kemenangan aksi sulung pada tahun ini benar-benar bermakna. Diharapkan esok saya dapat bermain dengan lebih yakin dan lebih konsisten.
"Saya berpuas hati kerana aksi menentang mana-mana pemain China tidak pernah mudah. Untuk menang straight set, saya benar-benar gembira dengan prestasi saya hari ini," katanya selepas perlawanan.
Pada edisi tahun lepas, Jun Hao tersingkir pada pusingan pertama selepas tunduk kepada pemain China Lu Guang Zu, 17-21, 21-16, 13-21.
Beliau juga menghadapi prestasi sukar di Jelajah Dunia BWF apabila mengalami lima kekalahan berturut-turut pada pusingan pertama, bermula dengan Terbuka Korea 2025 pada September.
Jun Hao akan bertemu sama ada Lee Chia Hao dari Taiwan atau Jonatan Christie dari Indonesia pada pusingan kedua.
"Siapapun lawan saya nanti, perlawanan pasti akan sukar. Saya perlu lebih fokus dan lebih kuat dari segi mental untuk perlawanan esok," katanya.
Jun Hao merupakan satu-satunya perseorangan lelaki negara yang mara ke pusingan seterusnya selepas pemain profesional Lee Zii Jia tersingkir pada pusingan pertama kepada pemain India Ayush Shetty 12-21, 17-21 dalam tempoh 39 minit semalam.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
