Bekas Panglima Tentera Darat hadir ke ibu pejabat SPRM

PUTRAJAYA - Bekas Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini dipercayai bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes rasuah tender perolehan TDM.
Beliau dilihat tiba pada jam 3.10 petang dengan diiringi beberapa individu ketika memasuki bangunan ibu pejabat SPRM.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Muhammad Hafizuddeain telah diarah bercuti sehingga pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan berhubung dakwaan membabitkan beliau.
Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman kemudian dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31, berkuat kuasa 1 Jan lepas.
Pada 23 Disember lepas, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Semalam, SPRM menahan reman 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat. - Bernama
Ringkasan AI
- Bekas Panglima Tentera Darat Malaysia Muhammad Hafizuddeain Jantan hadir di SPRM untuk memberi keterangan
- Beliau tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 3.10 petang
- Muhammad Hafizuddeain telah diarah bercuti oleh Menteri Pertahanan berkaitan siasatan kes rasuah
- Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat yang baru
- SPRM menahan reman 17 pengarah syarikat terlibat dalam kartel tender perolehan Tentera Darat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
