Lelaki mengaku nabi ditahan, ramalan dunia kiamat pada 2025 gagal

ACCRA – Seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai nabi, dikenali sebagai Ebo Noah, ditahan polis Ghana selepas menyebarkan ramalan palsu bahawa dunia akan berakhir pada 25 Disember 2025, sekali gus mencetuskan ketakutan dan panik dalam kalangan penduduk tempatan.
Ebo Noah, atau nama sebenarnya Evans Eshun, ditahan oleh Pasukan Khas Pemeriksaan Siber Polis Ghana pada Rabu susulan penyebaran video tular yang mengandungi dakwaan tersebut.
Gambar lelaki itu dalam tahanan polis dengan tangan bergari turut tersebar luas di media sosial.
Individu berkenaan sebelum ini mencuri perhatian selepas mendakwa membina sebuah 'bahtera Nabi Nuh versi moden' dan menggelarkan dirinya sebagai utusan Tuhan.
Dalam video yang tular, Ebo Noah mendakwa menerima amaran daripada Tuhan bahawa dunia akan musnah pada 25 Disember 2025 akibat hujan lebat dan banjir besar.
Beliau turut mendakwa diarahkan untuk membina bot bagi menyelamatkan manusia dan mendakwa telah membina 10 buah bot bagi tujuan tersebut.
Melalui akaun Instagram yang mempunyai kira-kira 32,000 pengikut, beliau memperkenalkan dirinya sebagai 'Ebo Jesus'.
Selain itu, beliau pernah memuat naik sebuah video di YouTube pada Ogos tahun lalu bertajuk What Will Happen and How It Will Happen, yang turut mengandungi dakwaan serupa.
Dalam video berkenaan, beliau mendakwa merancang untuk tinggal di bahtera tersebut selama kira-kira tiga tahun bagi menghadapi tempoh banjir besar yang kononnya akan melanda dunia.
Bagaimanapun, siasatan mendapati bahtera yang didakwa dibina oleh Ebo Noah sebenarnya bukan miliknya. Dalam perkembangan seterusnya, beliau mendakwa telah merayu kepada Tuhan supaya memberi lebih masa kepada manusia.
Dalam satu lagi video yang turut menjadi tular, Ebo Noah mendakwa bahawa usahanya berpuasa selama tiga minggu telah menyebabkan Tuhan 'menangguhkan' kemusnahan dunia.
Beliau malah menggesa orang ramai untuk bersuka ria dengan alasan bahawa bencana tersebut telah ditangguhkan.
Pihak berkuasa Ghana menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang penyebaran maklumat palsu yang boleh mengancam ketenteraman awam dan mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.-Agensi
Ringkasan AI
- Seorang lelaki di Ghana yang mendakwa sebagai nabi ditahan kerana menyebarkan ramalan palsu tentang kiamat
- Beliau, yang menggunakan nama Ebo Noah, telah menyebarkan video yang mengatakan dunia akan berakhir pada 25 Disember 2025
- Ebo Noah mendakwa dirinya sebagai 'Ebo Jesus' di Instagram dengan pengikut seramai 32,000
- Dia mendakwa telah membina 10 buah bot sebagai persiapan untuk menghadapi banjir besar yang kononnya akan melanda
- Siasatan mendapati bahtera yang didakwa dibina olehnya sebenarnya bukan miliknya dan beliau kemudiannya mengaku telah meminta lebih masa dari Tuhan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

