Tiga ADUN Perlis rayu status keahlian Pas

Laporan Sinar Harian berhubung keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta.
Laporan Sinar Harian berhubung keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta.
A
A
A

KANGAR - Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis mengemukakan rayuan rasmi berhubung status keahlian mereka kepada Majlis Syura Ulama Pas dengan menegaskan bahawa tindakan dibuat berlandaskan peruntukan sah dalam Perlembagaan parti.

Salah seorang daripadanya, Mohd Ridzuan Hashim berkata, ketiga-tiga mereka berpandangan bahawa perlembagaan parti membenarkan mana-mana ahli yang dikenakan tindakan tatatertib untuk mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh tindakan diambil oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Mereka turut menjelaskan bahawa Majlis Syura Ulama mempunyai bidang kuasa untuk meneliti dan memutuskan rayuan tersebut sebagaimana yang termaktub dalam Fasal 9 Perlembagaan PAS, yang memperincikan tugas-tugas Majlis Syura sebagai badan tertinggi dalam menentukan dasar, tafsiran dan penyelesaian isu-isu utama parti.

“Rayuan ini dibuat dengan penuh tertib dan keyakinan bahawa Majlis Syura Ulama mempunyai amanah serta kuasa sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan PAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiga ADUN terbabit dari kiri: Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji). - Foto Bernama
Tiga ADUN terbabit dari kiri: Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji). - Foto Bernama

Ketiga-tiga ADUN berkenaan turut menegaskan bahawa mereka masih mengharapkan untuk diterima sebagai ahli Pas dan tidak pernah membuat sebarang kenyataan terbuka berkaitan isu yang berlaku.

Menurut mereka, pendirian tersebut diambil bagi memberi ruang kepada penyelesaian secara berhemah melalui saluran dalaman parti, selaras dengan prinsip disiplin dan akhlak perjuangan Islam.

Berhubung tindakan memfailkan saman pemula di mahkamah pada 2 Januari 2026, mereka menjelaskan bahawa langkah tersebut bukan bertujuan mencampuri urusan parti, sebaliknya untuk mendapatkan pengesahan undang-undang sama ada Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis telah bertindak di luar bidang tugas dan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

“Kami dengan penuh hormat menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan mahkamah untuk menentukan perkara tersebut mengikut lunas perundangan,” jelas Mohd Ridzuan.

Dalam masa sama, mereka menyeru semua pihak agar menghormati proses perundangan dan tatatertib parti yang sedang berjalan, serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan dalam Pas.

Notis rayuan disampaikan kepada Mursyidul Am dan Setiausaha Majlis Syura.

Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama Pas berhubung rayuan berkenaan.

Ringkasan AI

  • Tiga ADUN Perlis telah mengemukakan rayuan rasmi kepada Majlis Syura Ulama Pas berkenaan status keahlian mereka
  • Perlembagaan parti memperbolehkan ahli yang dikenakan tindakan tatatertib mengemukakan rayuan dalam 30 hari
  • Majlis Syura Ulama memiliki kuasa untuk meneliti dan memutuskan rayuan mengikut Fasal 9 Perlembagaan PAS
  • Ketiga-tiga ADUN tersebut masih berharap dapat diterima semula sebagai ahli Pas dan tidak membuat kenyataan terbuka mengenai isu berlaku
  • Mereka memfailkan saman bukan untuk mencampuri urusan parti tapi untuk pengesahan undang-undang tentang tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!