Enam lelaki ingkar PKP ditahan

Lima lelaki yang sedang berkumpul di tepi jalan Kampung Desa Sri Medan Tembila, di sini, ditahan kerana ingkar PKP. -Foto: IPD Besut
Lima lelaki yang sedang berkumpul di tepi jalan Kampung Desa Sri Medan Tembila, di sini, ditahan kerana ingkar PKP. -Foto: IPD Besut
A
A
A

BESUT - Enam lelaki di daerah ini ditahan polis selepas mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam dua kejadian berasingan sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, seorang lelaki yang menunggang motosikal tanpa arah tujuan ditahan di Jalan Kampung Raja di sini pada Jumaat lalu.

"Lelaki berusia 20-an itu ditahan apabila gagal memberi alasan munasabah ketika disoal siasat selepas didapati menunggang motosikal kira-kira jam 10 malam," katanya.

Menurutnya, dalam kejadian malam tadi pula, lima lelaki yang berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan selepas didapati berkumpul beramai-ramai di tepi jalan Kampung Desa Sri Medan Tembila, di sini kira-kira jam 10 malam.

Beliau berkata, sebelum itu, pihaknya terserempak dengan kumpulan lelaki terbabit yang sedang berkumpul sebelum mengarahkan masing-masing agar pulang ke rumah dengan segera.

"Bagaimanapun, mereka langsung tidak mengendahkan arahan anggota bertugas, malah mereka dilihat seolah-olah mempersendakan arahan diberikan itu.

"Apabila ditanya tujuan berada di situ, masing-masing memberi alasan yang tidak munasabah sebelum ditahan dan dibawa ke balai berhampiran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua yang ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Peraturan 7 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.