Tiada bukti Covid-19 tersebar melalui udara

4
4
A
A
A

SETAKAT semalam, jumlah keseluruhan mangsa dijangkiti pandemik koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia sudah mencecah 666,211 orang dalam tempoh lima bulan sahaja.

Lebih mengejutkan, Amerika Syarikat kini mencatatkan jumlah jangkitan virus itu tertinggi di dunia dengan 124,686 kes, jauh meninggalkan Itali (92,472 kes) dan negara asal penularan wabak virus itu, China (82,061 kes) dalam tempoh sangat singkat.

Dengan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia mencecah 30,857 orang, tidak keterlaluan ancaman virus itu sangat kritikal dan membimbangkan seluruh dunia susulan kadar penularannya terlalu cepat.

Bahkan terdapat pihak menularkan dakwaan virus Covid-19 sebenarnya boleh tersebar melalui udara (airborne transmission) dengan memberi hipotesis kononnya partikel atau hablur virus berbahaya itu mampu kekal berada di ruang udara selama 14 hari.

Dakwaan itu akhirnya tersebar melalui laman sosial di seluruh dunia sebelum ini, namun akhirnya dinafikan serta-merta oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengelakkan panik besar-besaran dalam kalangan masyarakat dunia.

Masakan tidak, sekiranya dakwaan Covid-19 boleh dipindahkan melalui udara seperti deman campak (measles), sudah pasti angka jangkitan akan meningkat berpuluh kali ganda berbanding sekarang, seiring dengan kadar kematian seluruh dunia.

WHO membuat kenyataan itu berdasarkan hasil keputusan satu kajian eksperimentasi bagi menilai tahap penularan dan keagresifan virus itu oleh saintis antarabangsa yang diterbitkan di dalam New English Journal Medical (NEJM) 2020 baru-baru ini.

Laporan WHO menjelaskan wabak virus Covid tidak menular melalui ruang udara
Laporan WHO menjelaskan wabak virus Covid tidak menular melalui ruang udara

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan penerangan WHO, kajian itu menggunakan beberapa alat penyembur yang dijana berasaskan tiga jet penjana 'Collison Nebulizer' dan dimasukkan ke dalam drum Goldberg di bawah keadaan terkawal seperti dalam makmal.

"Bagaimanapun, eksperimen berasaskan mesin berkuasa tinggi itu tidak menggambarkan keadaan batuk atau bersin manusia sebenar atau tidak mencerminkan prosedur sebenar penjanaan penyemburan virus dalam ketetapan klinikal.

"Ini kerana kaedah penyemburan dengan partikel yang berpotensi mempunyai virus itu sudah diketahui kemungkinannya sewaktu pelaksanaan prosedur menjana semburan terbabit.

"Dalam konteks lain, bukti sedia ada menunjukkan virus Covid-19 masih disebarkan secara kontak terdekat melalui penyebaran hablur menerusi kaedah pernafasan (seperti batuk)," kata WHO berasaskan laporan kajian terbitan NEJM 2020.

WHO turut menjelaskan hablur atau partikel virus Covid-19 juga terlalu berat untuk disebarkan di udara sehinggakan ia terpaksa 'mendarat' di atas objek atau permukaan individu tertentu untuk disebarkan.

Menurut pertubuhan itu, berdasarkan bukti terkini, penyebaran virus menerusi udara yang membabitkan jarak lebih satu meter adalah terhad kepada prosedur penjanaan kaedah penyemburan virus sewaktu penjagaan pesakit Covid-19 dibuat secara klinikal.

"Orang lain akan terjangkit dengan Covid-19 dengan menyentuh objek atau permukaan dicemari hablur-virus itu yang kemudiannya menyentuh pula mata, hidung dan mulut mereka.

"Berikutan itu, WHO terus menasihatkan orang ramai untuk sentiasa memastikan amalan pembersihan tangan dilakukan secara kerap di samping mematuhi etika perlindungan ketika batuk atau bersin dengan sentiasa membersihkan kawasan permukaan badan agar tidak tercemar," katanya.

Kenyataan WHO itu turut disokong Pakar Mikrobiologi Klinikal dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zamberi Sekawi yang menegaskan hasil kajian eksperimen saintis luar negara dibuat secara simulasi dalam makmal itu berbeza dengan persekitaran sebenar dirasai manusia ketika ini.

Selain itu, beliau menegaskan bukti nyata Covid-19 bukan bersifat 'airborne transmission' adalah berasaskan statistik keseluruhan kes jangkitan membabitkan virus itu berpunca daripada kontak terdekat dan bukan dihidapi pesakit secara tiba-tiba.

"Dalam bahasa lebih mudah, bagi pesakit positif Covid-19, kita boleh tahu dia terima daripada siapa dengan sehingga kini tiada lagi laporan mengatakan pesakit positif Covid-19 atas punca tidak dikenal pasti," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dr Zambri berkata, berdasarkan kajian bahan genetik beberapa makmal di seluruh dunia, kadar mutasi Covid-19 adalah lebih perlahan jika dibandingkan dengan virus lain seperti influenza.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Covid-19 bersifat sangat berjangkit, lebih berbahaya kerana vaksin atau penawarnya masih belum ada serta sangat sukar untuk dijangka tahap keagresifannya terhadap individu dijangkiti.

"Misalnya di badan manusia, ada 'receptor' atau pintu sesuai pada sistem pernafasan untuk menggalakkan kemasukan virus Covid-19 lebih cepat.

"Tidak seperti virus influenza, Covid-19 lebih sukar dijangka tahap keagresifannya, lebih cepat berjangkit dan kesannya lebih berbahaya sehinggakan pakar perubatan sendiri tidak dapat menjangka tindak balas sistem imun golongan muda menjurus kepada penyakit yang teruk atau ringan,"katanya.

Sementara itu, pakar perubatan, Dr Zubaidi Ahmad berpandangan fasa mutasi Covid-19 sebenarnya belum sampai peringkat akhir dengan sifat sebenar virus itu masih tidak betul-betul difahami kerana belum ada satu kajian khusus terhadapnya.

Sehingga kini, beliau menyokong pandangan Covid-19 masih tersebar menerusi kontak terdekat dan bukan melalui ruang udara.

"Namun sekiranya Covid-19 akan terus bermutasi menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, kemungkinan virus itu boleh tersebar melalui ruang udara agak tinggi dan boleh mengakibatkan malapetaka dunia sangat parah.

"Dengan itu, saya menggalakkan orang ramai memainkan peranan meningkatkan keupayaan daya tahan tubuh masing-masing bagi membendung serangan Covid-19. Kita tidak boleh mengharapkan penemuan vaksin atau penawar itu semata-mata,"katanya.

Dr Zubaidi turut menekankan keperluan rakyat Malaysia mematuhi sepenuhnya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bagi memutuskan sepenuhnya rantaian penularan Covid-19 daripada berlangsung lebih lama.

"Kita harus ingat Covid-19 ini merupakan penyakit diimport dari negara luar yang mempunyai iklim sejuk seperti China.

"Walaupun kita lihat berlaku kadar peningkatan pesakit, virus ini masih dilihat sukar untuk menular sepenuhnya mungkin disebabkan ia belum menyesuaikan diri dengan cuaca panas serta ketegasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menanganinya.

"Justeru, amat penting kita membendung segera penularan Covid-19 secepat mungkin bagi mengelakkan virus itu akhirnya dapat menyesuaikan diri dengan iklim negara kita sekaligus bermutasi menjadi lebih berbahaya pada masa hadapan,"katanya.