Ingkar PKP: Dua lelaki dihadap ke mahkamah

Kedua-dua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana gagal patuhi arahan PKP
Kedua-dua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana gagal patuhi arahan PKP
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua lelaki menjadi individu pertama di Terengganu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Tertuduh, Mohd Sharafi Mohammad, 39, dari Gong Badak, Kuala Nerus, didakwa telah bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan iaitu di belakang Balai Raya Kampung Duyung Kecil, di sini tanpa kebenaran Pegawai Polis Balai Polis Gong Badak, kira-kira jam 1.05 petang, pada 28 Mac lalu (semalam).

Dengan itu, bapa kepada enam anak ini didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Tertuduh bagaimanapun mengaku salah atas pertuduhan tersebut sebelum mahkamah menetapkan 5 Mei depan untuk jatuh hukum sementara membenarkan dia dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 bersama seorang penjamin.

Tertuduh, Mohammad Hafiz Mat Suki, 27, dari Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus pula berdepan dua pertuduhan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan telah bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan.

Mengikut pertuduhan menghalang penjawat awam, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang anggota polis Cawangan Kereta Peronda MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Shahimi Mat Bakki kerana enggan berhenti dan bertindak melarikan diri semasa diarahkan di Jalan Hulu Takir Seberang Takir, Kuala Nerus, jam 4.15 petang pada 26 Mac lalu.

Dia yang bekerja di pelantar minyak mengaku bersalah bagi kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam yang memperuntukkan hukuman sehingga dua tahun penjara atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 5 Mei depan untuk jatuh hukum dan dia dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000.

Selain itu, tertuduh juga didakwa telah bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan iaitu di Jalan Hulu Takir, Seberang Takir, Kuala Nerus, tanpa kebenaran Pegawai Polis yang menjaga Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus, kira-kira jam 4.15 petang pada 26 Mac lalu.

Tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan di bawah Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 itu.

Sejurus pengakuan direkodkan, mahkamah menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam sementara membenarkan dia dibebaskan dengan jaminan RM3,000.

Kesemua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna di hadapan

Penolong Pendaftar Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, Roszita Md Saad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.