Rombakan kepimpinan PN: Keperluan strategik menjelang PRU16

Langkah ramai pemimpin Bersatu meletakkan jawatan dalam PN telah mencetuskan pelbagai spekulasi tentang masa depan perikatan itu. Dr. Nur Ayuni Mohd Isa (gambar)
Langkah ramai pemimpin Bersatu meletakkan jawatan dalam PN telah mencetuskan pelbagai spekulasi tentang masa depan perikatan itu. Dr. Nur Ayuni Mohd Isa (gambar)
A
A
A

PELETAKAN jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari 2026 merupakan satu titik perubahan penting dalam landskap politik Malaysia.

Bekas Perdana Menteri itu bukan sahaja Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tetapi telah memimpin PN sejak gabungan itu ditubuhkan.

Bersamanya, beberapa pemimpin kanan Bersatu juga mengumumkan peletakan jawatan dari jawatan kepimpinan PN termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi PN Selangor.

Selainnya ialah Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Johor, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Perak, Mohamad Hanifah Abu Baker yang meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan dan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian yang meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Negeri Sarawak.

Terbaru Nazree Yunus meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan.

Langkah ramai pemimpin Bersatu ini telah mencetuskan pelbagai spekulasi tentang masa depan PN. Ada penganalisis yang cepat-cepat melabelkan perkembangan ini sebagai petanda keruntuhan PN sedangkan hakikatnya ia adalah satu proses peralihan kepimpinan yang normal dan terkawal dalam sebuah gabungan politik yang semakin matang.

Dalam mana-mana organisasi politik, apabila seorang Pengerusi meletakkan jawatan, jawatan-jawatan lantikan di bawah autoriti beliau akan terlucut secara automatik. Keadaan ini tidak mencipta kekosongan kuasa, sebaliknya membuka ruang kepada penstrukturan semula yang lebih tersusun dan berfokus kepada masa depan.

Lebih penting, mengikut Perlembagaan PN, selagi mana Muhyiddin masih menjadi Presiden Bersatu, maka beliau akan masih kekal berada dalam tampuk kepimpinan PN sebagai Timbalan Pengerusi PN. Ini bermakna kesinambungan kepimpinan dan pengalaman masih terpelihara tanpa mengikat PN kepada satu figura semata-mata.

Perkembangan ini sebenarnya memperlihatkan satu peluang besar untuk PN melangkah ke fasa seterusnya iaitu fasa persediaan strategik menuju PRU16. PN tidak lagi boleh bergantung kepada naratif lama atau personaliti yang sama untuk terus relevan.

Artikel Berkaitan:

Rakyat hari ini, khususnya pengundi muda, menuntut kepimpinan yang lebih segar, berwibawa dan mampu menawarkan hala tuju jelas kepada Malaysia pasca PRU16.

Dalam konteks ini, memberi ruang kepada Parti Islam Se-Malaysia (Pas) untuk mengetuai PN secara lebih tersusun bukanlah satu langkah yang melemahkan Bersatu, sebaliknya satu strategi yang boleh menguntungkan kedua-dua parti.

Pas memiliki kelebihan struktur organisasi yang kukuh, disiplin parti yang tinggi serta jaringan akar umbi yang kuat di peringkat nasional. Kepimpinan Pas yang lebih kolektif dan tidak terlalu berpusat kepada seseorang tokoh memberi kelebihan besar dalam mengurus gabungan yang pelbagai seperti PN.

Apabila Pas menerajui PN, tumpuan boleh dialihkan daripada politik individu kepada politik pasukan dan institusi. Ini memberi ruang kepada PN untuk tampil sebagai gabungan yang lebih matang, stabil dan diyakini, bukan sekadar alternatif sementara kepada kerajaan sedia ada.

Pada masa yang sama, kepimpinan Pas berpotensi menenangkan kegusaran dalam kalangan Bersatu selepas Muhyiddin tidak lagi berada di posisi Pengerusi kerana beban politik tidak lagi diletakkan sepenuhnya ke atas satu parti atau satu tokoh.

Pas dalam PN tentunya tidak akan menyingkirkan mana-mana rakan gabungan. Sebaliknya, Pas dijangka akan memastikan proses rejuvenasi kepimpinan PN berlaku secara adil dan seimbang dengan Bersatu kekal diberikan peranan strategik yang signifikan.

Ini kerana Bersatu sendiri masih mempunyai barisan pemimpin berpengalaman, aset kepimpinan negeri dan tokoh-tokoh muda yang berpotensi besar tetapi sebelum ini sedikit tenggelam untuk diketengahkan dalam kerangka PN yang baharu.

Penstrukturan semula ini juga memberi peluang kepada PN untuk menampilkan tokoh-tokoh muda segar daripada kedua-dua Pas dan Bersatu yang tidak terpalit dengan konflik politik lama dan mampu berkomunikasi dengan aspirasi generasi baharu.

Wajah-wajah baharu ini penting bukan sekadar sebagai calon-calon pilihan raya mahupun calon-calon peneraju kerajaan jika menang, tetapi sebagai simbol perubahan budaya politik PN daripada defensif kepada progresif, daripada reaktif kepada visioner

Pengalaman Pas menguruskan krisis politik di Perlis dengan mengutamakan kestabilan negeri, menghormati hubungan dengan Bersatu serta menjaga institusi istana menunjukkan kebijaksanaan dan kewibawaan dalam membuat keputusan yang sukar.

Membenarkan Menteri Besar Bersatu pilihan Istana Perlis meneruskan tugas sehingga tamat penggal bukan tanda kelemahan, tetapi bukti bahawa Pas mampu meletakkan kepentingan rakyat mengatasi percaturan politik sempit.

Cara krisis politik di Perlis ditangani mencerminkan bagaimana PN di bawah Pas sebagai peneraju utama berpotensi mentadbir negara secara tegas, matang dan berhemah.

Selain itu, rombakan kepimpinan PN juga penting untuk mengurangkan publisiti negatif yang terlalu tertumpu kepada individu-individu tertentu. PN perlu membina naratif baharu yang lebih kolektif, di mana kejayaan dan kegagalan ditanggung bersama sebagai satu pasukan, bukan disandarkan kepada satu atau dua figura utama sahaja.

Kesimpulannya, tahun 2026 wajar dilihat sebagai tahun rejuvenasi PN. Pas berpeluang membuktikan kewibawaan untuk mengetuai PN dengan membawa kesatuan, disiplin dan kestabilan, manakala Bersatu pula perlu dilibatkan secara adil dalam pembentukan kepimpinan baharu yang lebih segar dan kompetitif.

Jika rombakan ini dilaksanakan dengan kebijaksanaan dan keadilan, PN bukan sahaja mampu menenangkan kegusaran dalaman, malah berpeluang besar untuk memenangi lebih banyak kerusi dan muncul sebagai kerajaan yang diyakini rakyat selepas PRU16.

*** Dr. Nur Ayuni Mohd Isa ialah pensyarah kanan dan penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang kini sedang menjalani penyelidikan pasca doktoral di Jabatan Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Asia Tenggara (SEAC), School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.

Ringkasan AI

  • Muhyiddin Yassin berundur sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari 2026 menandakan perubahan penting dalam politik Malaysia
  • Bekas Perdana Menteri dan beberapa pemimpin kanan Bersatu turut meletak jawatan dari posisi kepimpinan PN
  • Langkah tersebut mencetuskan spekulasi tentang masa depan PN namun dilihat sebagai proses peralihan kepimpinan yang normal
  • Pemimpin PN yang baru diharapkan dapat menawarkan hala tuju yang jelas untuk Malaysia pasca PRU16, khususnya kepada pengundi muda
  • Perubahan kepimpinan ini memperlihatkan peluang untuk Pas memainkan peranan lebih dominan dalam PN, menjanjikan kepemimpinan yang lebih matang dan stabil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!