Kerajaan tidak bertolak ansur rasuah, tegas Anwar

PUTRAJAYA – Kerajaan menegaskan pendirian untuk terus memerangi rasuah dan memperkukuh tadbir urus negara tanpa bertolak ansur dengan sebarang bentuk salah laku, sama ada melibatkan rakan mahupun lawan politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar utama kerajaan sejak awal adalah memberi penekanan kepada isu tata kelola yang baik serta menghapuskan amalan rasuah dan salah guna kuasa yang telah lama membelenggu pentadbiran negara.
"Namun masih ada yang terperangkap dalam kerangka dan budaya lama yang 'bobrok'.
“Saya tentunya menyampaikan maklumat terkini hasil siasatan badan-badan berkaitan, saya ingin menegaskan bahawa kita tidak akan bertolak ansur dan tidak akan menerima sebarang ugutan daripada mana-mana pihak.
"Kerajaan akan bertindak tegas menghadapi masalah ini, sama ada melibatkan kawan atau lawan,” katanya ketika sidang media di sini pada Selasa.
Terdahulu, Anwar mempersembahkan taklimat terkini berhubung isu rasuah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan bahawa beberapa tindakan telah diambil melibatkan pelbagai peringkat pentadbiran, termasuk di pejabat beliau sendiri, selaras dengan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan.
“Tindakan ini melibatkan juga anggota pentadbiran termasuk di pejabat saya, rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan, pembangkang, pimpinan utama angkatan tentera serta penjawat awam.
"Kerajaan akan terus bertindak tegas bagi menyelamatkan negara serta memastikan dana awam digunakan secara wajar dan berhemah demi membela nasib rakyat," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan Malaysia berkomitmen untuk memerangi rasuah dan memperkukuh tadbir urus negara
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan keutamaan kepada tata kelola yang baik dan penghapusan rasuah
- Anwar Ibrahim menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk salah laku dalam pentadbiran
- Kerajaan akan bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam rasuah, termasuk anggota pentadbiran dan politik
- Langkah-langkah tertentu telah diambil untuk meningkatkan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam penggunaan dana awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
