Penduduk Temerloh dilarang keluar selepas 12 tengah hari

Masih terdapat orang awam yang keluar biarpun larangan sudah diberi di Temerloh
Masih terdapat orang awam yang keluar biarpun larangan sudah diberi di Temerloh
A
A
A

TEMERLOH - Polis memberi amaran kepada penduduk sekitar Temerloh supaya tidak keluar ke bandar selepas jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana individu yang masih ingkar dengan arahan tersebut bermula hari ini.

"Kita tidak boleh berlembut lagi,dan akan mengambil tindakan keras dan tegas kepada mereka yang masih berdegil. Jika melihat kepada dua tiga hari ini, bandar Temerloh dipenuhi kenderaan seolah-olah ada pesta.

"Kita telah memberikan peluang untuk ke bandar membeli barangan keperluan mereka dari jam 7 pagi hingga 12 tengahari.

"Namun masih ada yang tetap keluar selepas waktu tersebut untuk membeli barangan keperluan masing-masing. Tugas orang ramai mudah, duduk di rumah hingga esok dan elakkan keluar selepas itu bagi mengelakkan wabak ini terus merebak," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata sedemikian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dalam usaha kerajaan berdepan wabak koronavirus(Covid-19),orang ramai perlu menghadkan pergerakan di luar rumah dan keluar bagi urusan penting atau kecemasan.

Namun beliau memberitahu,pengecualian masih diberikan kepada petugas-petugas penting serta hal-hal kecemasan lain serta mereka yang terlibat dalam penghantaran makanan atau barangan selepas waktu terbabit namun perlu mendapat kebenaran pihak polis.

"Peringatan terakhir kepada orang ramai jika terus berdegil, tindakan akan diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit(Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020) beserta Seksyen 269 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Artikel Berkaitan: