[VIDEO] MB Perlis umum letak jawatan

A
A
A

KANGAR - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengumumkan hasrat peletakan jawatan secara sukarela disebabkan faktor kesihatan yang dialami.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis di sini pada petang Khamis.

Mohd Shukri ketika mengadakan sidang media di kediaman rasmi beliau pada Khamis.
Mohd Shukri ketika mengadakan sidang media di kediaman rasmi beliau pada Khamis.

“Pertamanya, saya nak maklumkan bahawa saya telah diperkenan untuk menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada tengah hari tadi dan telah menyatakan hasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar secara sukarela selain mengambil kira faktor kesihatan.

“Saya telah pun mempersembahkan surat meletakkan jawatan kepada Tuanku pada tengah hari tadi,” katanya dalam sidang media terbabit.

Mohd Shukri bagaimanapun menyerahkan sepenuh kebijaksanaan Tuanku untuk mempertimbangkan hasrat beliau.

“Sehubungan itu, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga pentadbiran kerajaan Perlis, seluruh warga penjawat awam dan khususnya rakyat Perlis yang telah memberikan kerjasama baik sepanjang pentadbiran saya di negeri bertuah ini.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pucuk kepimpinan parti serta seluruh ahli parti yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjalankan tugas Menteri Besar.

Artikel Berkaitan:

“Saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Raja Perlis, Raja Perempuan Perlis, Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis kerana memberi peluang kepada saya menjadi Menteri Besar dan mentadbir Kerajaan Negeri Perlis dalam tempoh tiga tahun ini,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu bagaimanapun mengambil kesempatan memohon keampunan atas kekhilafan dan kekurangan sepanjang menggalas amanah tersebut.

Beliau pada masa sama berharap agar penggantinya dapat meneruskan agenda yang telah dirancang, khususnya dalam pembentangan bajet baru-baru ini.

“Ia bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri Perlis ini… teruslah bekerja dengan sempurna dan istiqamah dalam menentukan kehidupan kita yang lebih sejahtera sebagai rakyat yang berjaya, Insya-ALLAH,” katanya.

Berhubung tahap kesihatan, Mohd Shukri menjelaskan beliau mengalami sakit pada bahagian dada dan mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sebaik pulang dari luar negara.

“Ada masalah sedikit pada jantung dan selepas dua hari di hospital, doktor telah memberikan ubat,” jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan, pergolakan di Perlis berlaku apabila terdapat lapan ADUN negeri itu mengisytiharkan tidak menyokong kepimpinan Mohd Shukri.

Mereka didakwa telah menandatangani akuan bersumpah (SD) dan menyerahkannya kepada pihak Istana Perlis sebelum ini.

Lapan ADUN tersebut terdiri daripada tiga ADUN Pas dan selebihnya daripada Bersatu.

Susulan itu, Pas memutuskan keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta berikutan pendirian mereka yang dikatakan telah hilang kepercayaan terhadap Mohd Shukri.

Sebagai rekod, Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, PN mencipta sejarah apabila memenangi 14 kerusi (Pas 9, Bersatu 5) manakala Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi satu kerusi di DUN Indera Kayangan.

Kedudukan terkini, tiga kerusi Pas dikosongkan menjadikan jumlah kerusi DUN Perlis kini tinggal 12 terdiri daripada Pas (6), Bersatu (5) dan PKR (1).

 

 

Ringkasan AI

  • Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, mengumumkan peletakan jawatan karena masalah kesihatan
  • Pengumuman peletakan jawatan dibuat dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis
  • Mohd Shukri telah mempersembahkan surat peletakan jawatan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail
  • Beliau berharap penggantinya dapat meneruskan agenda pembentangan bajet yang telah dirancang
  • Mohd Shukri mengalami masalah pada jantung dan telah dirawat di Institut Jantung Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!