Makan nasi berlaukkan belalang

Hashim kini berusia 71 tahun.
Hashim kini berusia 71 tahun.
A
A
A

Pada 62 tahun lalu, seorang budak lelaki berusia 9 tahun berdiri di depan pokok ubi kayu di samping ibunya. Mereka berdua memandang ke bukit yang berada di depan sambil si ibu berkata:

“Anakku, lihatlah pada bukit itu. Nampak kau pada sebatang pokok yang tingginya mengawan? Jadilah kau (seperti) pokok itu.”

Kata-kata si ibu tadi terus menjadi pegangan budak lelaki itu sehingga akhirnya menjadikan beliau seorang tokoh yang begitu disegani di negara ini.

Beliau adalah Datuk Prof Emeritus Dr Hashim Yaacob yang pernah menjadi Naib Canselor kepada lima buah universiti di negara ini.

Berkongsi cerita, anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu mengakui beliau membesar dalam keluarga susah, sehingga pernah menjadikan belalang sebagai makanan harian. Kesusahan itu membuatkannya tekad untuk berjaya.

“Ayah dan emak menoreh getah di waktu pagi dan menanam padi selepas Zuhur. Mereka tidak pernah bersekolah dan tentunya buta huruf. Tetapi ayah boleh sedikit membaca dan menulis.

“Pada waktu petang bila hari tidak lagi panas, ayah akan menambah rezeki bekerja sebagai pengayuh beca. Pada waktu itu, pendapatan orang tua saya sangat sedikit.

“Kerap kami makan nasi lauk belalang, ikan sawah, etok, pucuk paku, kulat sisir dan apa saja yang boleh dikutip dari hutan, bendang dan sungai,” katanya kepada Sinar Ahad.

Artikel Berkaitan:

Pakar dalam bidang Sains Patologi Mulut dan Perubatan Mulut itu berkata, sejak kecil lagi beliau amat terkesan dengan kesungguhan ayah dan ibunya menggembleng tenaga untuk memberi pelajaran kepadanya.

“Kata mereka, kita tidak punya apa-apa. Tiada kedudukan, tiada harta. Seluruh keturunan ayah dan emak adalah penoreh getah yang tidak pernah bersekolah.

“Ayah berkata kepada saya, hanya pelajaran sahajalah seseorang itu akan terjamin hidupnya pada masa depan. Ayah kata, dia mendengar amanah itu daripada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra melalui radio.

“Ia menjadi pencetus untuk saya berjaya. Saya tidak mahu lagi makan nasi berlaukkan belalang dan etok setiap hari. Saya tidak mahu dipandang rendah kerana tidak berpelajaran. Saya mahu menjadi manusia berguna seperti pesan ayah dan emak,” katanya.

Tambah beliau, pesan emak supaya menjadi orang terbilang bila dewasa nanti juga memberi kesan pada hidupnya dan tidak akan dilupakan.

“Emak tidak mahu saya menjadi sepertinya dan seluruh keluarganya selama ini. Sambil memandang ke bukit, emak mahu saya menjadi seperti pokok yang tumbuhnya lebih tinggi daripada yang lain.

“Pada tahun 2003, ketika memegang jawatan Naib Canselor Universiti Malaya, saya menulis sebuah puisi bagi mengingati pesan emak itu,” katanya.

Semangat dan iltizam beliau telah membuktikan bahawa bangsa Melayu boleh mencapai kejayaan seperti bangsa lain di dunia ini.

Penghormatan seorang ayah

Mengimbau kisah sepanjang kerjaya beliau, anak kedua daripada enam beradik itu tidak malu berkongsi yang beliau pernah ‘hilang punca’ meskipun sudah bergelar profesor.

“Sewaktu dalam perkhidmatan, saya pernah ditimpa malapetaka kerana tidak mengikut telunjuk bengkok ketua. Walaupun sudah menjadi profesor, saya tidak tahu apa yang mesti saya lakukan. Lalu saya pulang bertemu ayah dan emak yang tak pernah bersekolah untuk bertanyakan fikiran.

“Ayah bertanya saya bersalah atau tidak dalam kejadian itu. Saya jawab tidak bersalah. Ayah berkata, ‘pulang kau ke Kuala Lumpur dan lawan ketuamu itu!’

“Saya menjawab ‘bagaimana ayah ketahui saya tidak bersalah, sedangkan saya belum habis bercerita? Ayah menjawab tenang, ‘kerana kau yang memberitahuku kau tidak bersalah. Anakku tidak pernah berbohong padaku’,” katanya.

Ujarnya, peristiwa itu menjadi perkara paling terkesan pada beliau kerana mendapat bintang penghormatan tertinggi daripada ayahnya.

“Ayah saya yang tidak bersekolah itu rupanya lebih bijaksana daripada saya yang ketika itu telah menjadi profesor di UM! Apatah tidaknya, dia lebih dulu memakan garam daripada saya.

“Kerana itu kita semua mesti sedar bahawa emak dan ayah adalah nikmat dunia dan akhirat yang tiada bandingan,” katanya.

Kejayaan beliau dalam bidang sains tidak perlu dipertikaikan lagi, namun uniknya lelaki hebat berusia 71 tahun ini turut terkenal dalam melestarikan seni dan budaya sebagai penyair kebangsaan, pelukis dan pakar dalam permainan wayang kulit Kelantan.

Antara sains dan seni

Beliau berkata, meskipun kedua-dua bidang itu jauh berbeza, ianya tidak mustahil untuk dilakukan asalkan ada minat dan kesungguhan.

“Untuk menjadi ahli sains, kita wajib dan memerlukan pengajaran dan pembelajaran yang khusus. Umpamanya, jika mahu menjadi doktor, jurutera dan sebagainya, kita perlu berkursus khas.

“Sebaliknya kalau setakat hendak menulis puisi, cerpen, bermain wayang kulit, melukis dan bersilat secara hobi pada tahap rendah, apa yang diperlukan ialah minat serta usaha yang tak kenal kalah dalam memperjuangkan seni. Bukankah seni itu untuk semua?

“Tetapi tentunya kalau hendak mencapai tahap yang lebih tinggi, mestilah belajar ke tahap yang tinggi,” katanya.

Dr Hashim berkata, beliau sentiasa berpegang dengan konsep: Jika kita rasa kita bijak, ada lagi orang yang lebih bijak daripada kita dan kalau kita sudah berada di atas, jangan lupa yang di bawah.

“Kalau kerajaan menyuruh kita patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat kenalah ikut. Jangan tidak menentu buat pandai sendiri, kelak bencana akan menimpa,” katanya berkias.

PROFIL

Nama: Datuk Kept Prof Emeritus Dr Hashim Yaacob (B)

Umur: 71 Tahun

Asal: Tanah Merah, Kelantan

Adik beradik: Anak ke-2 daripada 6 beradik

Isteri: Datin Profesor Dr Sri Nurestri

Anak: Tiga orang

Pendidikan:

Sekolah Umum Tanah Merah Kelantan

Sekolah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan.

Institut Teknologi Mara (UiTM).

DDSc Hon (Lincoln).

FRCPath (Royal College of Pathologists, UK).

FDSRCS (Royal College of Surgeons, England).

FDSRCPS (Royal College of Physicians and Surgeons, Glasgow UK).

FFOPRCPA (Foundation Fellow in Oral Pathology, Royal College of Pathologists of Australasia).

CBiol (Chartered Biologist, Institute of Biology, UK) FASc(Academy of Medicine Malaysia).

MSc (London).

BDS (Otago New Zealand).

Dip Islamic Studies (UIAM).

Kerjaya:

Naib Canselor Universiti Malaya (2003-2006), University College of Nursing Petaling Jaya Malaysia (2008-2011), Kuala Lumpur Metropolitan University College (2011-2013), Quest International University Perak Malaysia (2013-2015), Meritus Universiti Malaysia, Kuala Lumpur (2015).

Kepten (B) PSSTLDM Tentera Laut Diraja Malaysia.

Penyair, pelukis, dalang wayang kulit.