Doktor 'mengamuk' tumbuk beberapa kali pesakit terbaring

NEW DELHI - Gara-gara menumbuk pesakit, seorang doktor berdepan padah apabila dia akhirnya digantung tugas.
Dr Raghav Narula di Indira Gandhi Medical College (IGMC) di Shima, utara India didakwa memukul mangsa, Arjun Panwar, 36, ketika insiden pada Isnin lalu.
Panwar dimasukkan ke kemudahan perubatan itu kerana mengalami kesukaran untuk bernafas dan sedang berehat selepas menjalani pemeriksaan.
"Doktor itu mula cakap dalam nada kasar dengan saya ketika memeriksa laporan perubatan. Saya menegur perbuatannya lalu dia mengamuk," ujar pesakit tersebut.
Rakaman yang menjadi tular menunjukkan Narula menumbuk mangsa beberapa kali yang cuba melindungi dirinya.
Susulan insiden itu, Panwar telah membuat aduan berkaitan serangan fizikal kepada pihak berkuasa.
Ahli keluarga pesakit itu turut berkumpul di luar hospital berkenaan bagi menuntut penahanan segera Narula.
Bagi meredakan kemarahan mereka, Penguasa Perubatan IGMC, Rahul Rao mengesahkan doktor berkenaan kini digantung tugas sementara siasatan menyeluruh dijalankan.
"Saya tidak berniat mahu menyerangnya. Dia yang berkelakuan kasar dengan saya terlebih dahulu," ujar Narula. - Agensi
Ringkasan AI
- Seorang doktor di India digantung tugas kerana menumbuk pesakit
- Doktor itu, Dr Raghav Narula dari Indira Gandhi Medical College, didakwa memukul Arjun Panwar yang sedang berehat pasca pemeriksaan
- Panwar dimasukkan ke hospital kerana kesukaran bernafas
- Insiden pemukulan itu terekam dan video tersebut menjadi tular
- Keluarga pesakit mendesak penahanan Narula sementara Penguasa Perubatan mengumumkan penggantungan tugas doktor tersebut sementara penyiasatan dijalankan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

