Berita palsu boleh cetus malapetaka baharu

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah pada sidang media bersama Bernama dan RTM semalam. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah pada sidang media bersama Bernama dan RTM semalam. - Foto Bernama
A
A
A

Perang menentang wabak Covid-19 tidak akan dapat dimenangi dengan mudah jika komunikasi antara kerajaan dan rakyat tidak dibuat secara berkesan, terancang dan menyeluruh. Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, keadaan akan bertambah buruk dengan kemunculan khabar angin yang berupaya mencetuskan kegemparan terutamanya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 Mac lalu sehingga 14 April depan.

Malah, beliau mengakui di sesetengah negara, ketakutan sebenar orang ramai bukanlah disebabkan virus maut itu tetapi akibat rasa cemas dan panik berpunca daripada berita palsu.

Dalam wawancara bersama wartawan Sinar Ahad, HASLINA AR KAMALUDIN, NURUL RIDUAN NOR ASHAHA dan KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN menerusi sidang video Rabu lalu, Saifuddin menjelaskan mengenai strategi kerajaan dalam menangani wabak itu selain peranan syarikat telekomunikasi untuk mengurangkan beban rakyat dalam situasi sukar ini yang dijangka berlarutan untuk tempoh beberapa bulan lagi.

SINAR AHAD: Datuk dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia kira-kira seminggu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan. Bagaimana Datuk berdepan dengan isu koordinasi penyampaian maklumat kepada rakyat?

SAIFUDDIN: Ini satu tanggungjawab yang amat besar apatah lagi kita berhadapan dengan wabak Covid-19. Masalah ini masalah luar biasa, tidak pernah kita hadapi sebelum ini. Masalah ini lebih besar daripada banjir dan isu malapetaka yang lain. Sebab itu kita perlu menggunakan pendekatan dan cara kerja yang juga luar biasa. Perkara pertama yang kita lakukan adalah menentukan bahawa pelan tindakan komunikasi pihak kerajaan berjalan dengan baik, sistematik dan padu.

Sebab itu kita membahagikan isu ini kepada dua. Satu isu berkaitan hal ehwal kesihatan dan satu lagi melibatkan hal ehwal bukan kesihatan. Kita menetapkan jurucakap utama sebab kita tidak mahu berterabur, semua orang mahu buat pengumuman rasmi.

Jadi kita tetapkan, untuk hal ehwal kesihatan, yang layak bercakap hanya Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan manakala hal ehwal bukan kesihatan, kita menetapkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertahanan. Dan kita kongsi kerangka asas gerak kerja ini dengan semua menteri, timbalan menteri, menteri besar dan ketua menteri serta Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Sehingga Isnin lepas, masih ada tiga juta rakyat yang ingkar arahan duduk di rumah. Apakah ini disebabkan penyampaian maklumat yang kurang berkesan atau memang inilah realiti sikap sesetengah masyarakat kita?

Sebenarnya ini yang susah untuk dicakapkan. Angka yang mutakhir sebenarnya sudah sampai tahap 95 peratus sehingga Rabu lalu. Namun, bila kita lihat ada lima peratus yang masih belum patuh sepenuhnya, angka itu lebih kurang 1.5 juta orang. Dalam isu Covid-19, angka 1.5 juta itu dianggap besar dan boleh menimbulkan bencana. Jumlah 15 atau 16 orang pun sudah dianggap (jumlah) besar dalam konteks Covid-19. Jadi oleh sebab itu, kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April depan.

Apakah statistik terbaru kes berita palsu Covid-19 yang disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)? Adakah ia berkaitan kes yang dilaporkan orang ramai atau hasil pemantauan SKMM sendiri?

Artikel Berkaitan:

Ada kes dilaporkan orang ramai dan ada juga yang kita pantau. Kita ada war room di kementerian kita. Kita memantau berita-berita yang keluar. Dari segi berita palsu, setakat hari Rabu ada 45 kes berkaitan Covid-19 yang disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, 13 (kes) telahpun kita sampaikan kepada Peguam Negara dan ada enam yang sudah didakwa di mahkamah.

Di samping itu, polis juga membuat satu tangkapan berkaitan sebuah video tular di mana seorang lelaki mengkritik dan balun (hentam) kerajaan dengan menggunakan bahasa yang tidak sepatutnya. Jadi kita memang tidak berkompromi dari segi berita palsu.

Tetapi di samping berita palsu, ada juga yang kami pantau melalui pasukan Respons Pantas di kementerian yakni berita-berita mengadu domba, soal perkauman, soal agama dan cerita-cerita yang tidak tepat. Sebagai contoh, dalam Twitter, saya mempertahankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri apabila beliau mengumumkan tabung di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membantu golongan tertentu. Beliau sebut dengan jelas bahawa bantuan itu adalah untuk semua pihak termasuk petugas barisan hadapan. Jadi, jelas ia tidak hanya khusus untuk orang Islam. Tetapi ada pihak yang tuduh dia hanya beri bantuan kepada orang Islam.

Kemudian kita membetulkan kenyataan kononnya polis akan tangkap dan kenakan kompaun RM300 seandainya mereka (rakyat) keluar rumah, RM200 seandainya mereka tidak pakai topeng muka dan kemudiannya cerita orang India lari dari sebuah hospital.

Jadi ini semua memang berita palsu. Kita harus memberi penerangan kepada masyarakat bahawa berita-berita ini tidak benar.

Apakah yang terjadi jika kita tidak membendung berita palsu ini?

Kalau kita tidak bendung dan tidak disangkal lebih awal, ia akan mengelirukan orang ramai. Misalnya, soal kononnya polis tangkap dan ada orang lari dari hospital, tidakkah nanti kalut satu kawasan? Begitu juga berita-berita lain seperti makanan sudah habis. Sebab itu menteri bertanggungjawab telah buat lawatan dan tunjuk dalam berita bahawa makanan dan barangan mencukupi.

Kalau tidak, orang akan buat panic buying iaitu pembelian secara panik. Yang mustahak adalah kita mahu suasana itu tenteram. Benar kita berhadapan dengan krisis besar. Benar ini masalah luar biasa. Tetapi seandainya kita tidak tenang berhadapan dengan suasana ini, kita tidak akan membantu pihak Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa untuk melaksanakan tugas mereka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Covid-19 di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya semalam. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Covid-19 di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya semalam. - Foto Bernama



Presiden Joko Widodo dari Indonesia baru-baru ini mengatakan ketakutan kita bukan disebabkan virus itu tetapi akibat rasa cemas dan panik berpunca daripada berita palsu. Adakah ini turut berlaku di Malaysia?

Mungkin kita belum capai ke tahap cemas. Tetapi kita mesti mengatasinya, mesti menyangkal dan membendung. Sebab akan menjadi suatu malapetaka baharu kalau rakyat dengar berita palsu dan berita-berita tidak sahih. Sebab itu, kita atur Datuk Seri Ismail Sabri buat kenyataan rasmi pada jam 12 tengah hari, Menteri Kesihatan atau Ketua Pengarah Kesihatan akan buat kenyataan pada pukul 3 petang dan pada waktu tertentu, kita akan siarkan perkembangan dari masa ke masa untuk memastikan bahawa berita yang dikeluarkan itu sahih.

Berapa kerapkah portal Sebenarnya.my di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia digunakan oleh orang ramai untuk menentukan kesahihan sesuatu berita?

Buat masa ini, walaupun saya tiada angka rasmi tetapi semakin ramai orang menggunakan portal Sebenarnya.my dan itu amat penting. Itu bermakna kita ada peningkatan dari segi kepintaran untuk menapis dan mencari kesahihan sesuatu berita. Bagi orang Islam, ini tabayyun, mesti menyelidiki kesahihan sesuatu berita sebelum kita sebar, kongsi kepada orang lain. Malahan sebelum kita guna sesuatu maklumat, sangat mustahak untuk kita mengambil sikap tabayyun dengan meneliti, menentukan kesahihan sumber berita dan juga bahan berita.

Dilaporkan ada 25 juta pengguna media sosial di Malaysia. Sejauh manakah pengaruh media sosial ini dalam membentuk pandangan masyarakat di Malaysia terhadap isu-isu semasa seperti Covid-19?

Saya kira pengaruh media sosial sangat besar. Sukar dinyatakan mana lebih besar antara media arus perdana dengan media sosial. Bagi sesetengah orang, mereka masih menonton televisyen dan mendengar radio. Tetapi bagi sesetengah orang yang saya fikir angkanya sangat substantial, mereka lebih pentingkan media sosial. Jadi media sosial sangat berpengaruh, apalagi dalam kalangan orang muda dan orang berpendidikan.

Sebab itu, saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat telekomunikasi kita. Ada keseluruhan 13 syarikat telekomunikasi dan mereka memberikan kerjasama untuk menjadi wahana menyampaikan maklumat daripada pihak kerajaan. Hampir semua syarikat ini juga membantu dari segi inisiatif menambah perkhidmatan, beri bentuk perkhidmatan percuma, ada yang beri tambahan gigabait (data internet) secara percuma dan sebagainya. Jadi ini saya fikir suatu perkara yang sangat penting. Semua pihak termasuk penyiar dan syarikat telekomunikasi sama-sama membantu.

Ada ramai influencer media sosial di Malaysia. Sesetengahnya tidak dikenali tetapi kreatif dan mahir menulis, menghasilkan video dan infografik. Bagaimana Datuk melihat sumbangan mereka dalam memerangi dan memberi kesedaran berhubung Covid-19?

Saya lihat memang ada (influencer) yang mengkritik tidak tentu pasal. Pada saya, kritik kalau adil dan saksama kita boleh terima. Tetapi ada yang memang mengambil sikap membalun apa sahaja yang kita lakukan. Tetapi majoriti saya lihat positif. Mereka retweet, mereka memberi sukaan dalam Twitter, mereka memanjangkan pesanan dalam WhatsApp yang saya dapat laporan berita-berita yang penting, positif. Ada yang dalam Twitter, saya lihat mereka menulis komen yang baik-baik selain retweet. Pada saya itu penting. Dalam konteks memerangi Covid-19 ini, sebenarnya influencer dalam media sosial main peranan yang sangat mustahak. Dan mereka harus terima hakikat bahawa mereka sangat berpengaruh.

Ada juga selebriti yang tampil membuat pesanan khidmat masyarakat. (Datuk Seri) Siti Nurhaliza ada menghasilkan video klip lagu Samar-Samar. Pak Nil (Datuk Aznil Nawawi) membuat temu ramah seorang wanita yang bertugas di hospital yang sangat menyentuh kalbu. (Penyanyi) Amy Search juga ada buat pesanan khidmat masyarakat. Maya Karin juga ada. Semuanya (popular) melalui media arus perdana.

Tetapi ada juga yang menggunakan Twitter masing-masing dan mereka sama-sama membantu menyampaikan mesej, sebab apa juga maklumat dan bahan disampaikan, yang mustahak kita kena pastikan arahan Perintah Kawalan Pergerakan berjaya. Supaya kita dapat menurunkan jumlah mereka terkena jangkitan Covid-19. Jadi, saya selalu ingatkan teman-teman, apapun kita lakukan, tiga mesej utama ialah pertama, duduk di rumah atau stay at home yang kini sudah menjadi mantra Malaysia; kedua, kerap basuh tangan; dan ketiga, jaga jarak sosial satu meter.

Berkaitan dengan kluster jemaah tabligh, kalau kita lihat ekoran penularan Covid-19, kumpulan dakwah Islam itu kini dipandang serong oleh ses tengah pihak. Adakah media kita bersikap berat sebelah atau berlebih-lebihan dalam laporan mereka?

Saya kira sebahagian besar media kita objektif. Mereka bercerita tentang tabligh kerana memang kita menyasarkan mesej itu kepada mereka kerana pada satu ketika, ramai sekali tidak datang secara sukarela untuk membuat saringan.

Tetapi saya nak ulang apa yang disebut Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah), jangan pula kita mendiskriminasikan mereka, jangan wujudkan stigma kepada mereka. Mereka seperti kita juga, berdepan dengan masalah ini dan kita mengalu-alukan apabila semakin ramai ahli jemaah tabligh yang datang ke depan buat saringan secara sukarela.

Bagaimana Datuk melihat koordinasi antara negara-negara dunia dalam memerangi wabak Covid-19?

Ada sekurang-kurangnya dua level (tahap) kerjasama antara negara-negara ASEAN dengan negara-negara lain dalam menangani wabak ini. Level yang pertama adalah level profesional. Memang ada mesyuarat online antara pakar-pakar dalam Kementerian Kesihatan dalam kalangan negara ASEAN. Mereka bertukar-tukar pandangan secara online.

Kedua adalah level menteri di mana saya melihat Menteri Luar sekarang iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein begitu aktif menghubungi teman-teman dalam ASEAN, berhubung dengan Menteri luar dari China, India dan negara-negara lain juga.

Ada yang bertukar-tukar fikiran dan ada yang meminta bantuan, misalnya dari segi bekalan. Ada sesetengah bekalan barangan itu datang dari negara luar. Ada bahan mentah yang nak dikeluarkan sesuatu produk oleh kilang di Malaysia, bahan mentahnya datang dari luar. Kemudian ada juga dari segi membawa pulang rakyat Malaysia dan menghantar pulang rakyat mereka. Jadi, ini adalah satu level di mana kerjasama penting.

Kalau dilihat prestasi syarikat Telco dalam beberapa tempoh tahun lepas, kebanyakannya mencatatkan keuntungan yang besar. Apakah inilah masanya untuk mereka berkongsi keuntungan dengan rakyat?

Saya sudah sebutkan tadi, saya berterima kasih kepada syarikat-syarikat Telco yang telah pun bekerjasama dengan baik. Memang yang kita tahu dalam kalangan mereka itu merekodkan keuntungan besar. Memang saya berharap mereka akan tampil ke depan. Saya tahu dalam kalangan mereka akan membuat pengumuman-pengumuman lagi dan itu lebih sesuai jika mereka umumkan sendiri. Sebab bila semua rakyat Malaysia berada di rumah, satu-satunya benda yang paling utama dalam keterhubungan ialah telefon dan siaran. Saya yakin mereka ini syarikat yang baik-baik belaka. Kita faham mereka kalau boleh nak untung yang besar tetapi ketika berdepan dengan masalah yang sebesar ini, saya harap dan saya yakin mereka akan tampil membantu lebih banyak lagi.

PROFIL DATUK SAIFUDDIN ABDULLAH

Jawatan sekarang: Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Umur: 59 tahun

Asal: Mentakab, Pahang

Isteri: Datin Norlin Shamsul Bahri

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sastera Universiti Malaya

Politik: Ahli Parlimen Indera Mahkota (kini parti Bersatu)

Pengalaman:

Menteri Luar (2018-Februari 2020)

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi II (2009-2013)

Timbalan Menteri Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi (2008-2009)

Pencapaian: Johan dan Pemidato Terbaik Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri (1980)