43 dikejarkan ke hospital akibat kebocoran karbon monoksida

Polis, ambulans dan bomba berada di Sekolah Ecole des Decouvreurs di LaSalle susulan kebocoran gas karbon monoksida. - Foto Radio-Canada
Polis, ambulans dan bomba berada di Sekolah Ecole des Decouvreurs di LaSalle susulan kebocoran gas karbon monoksida. - Foto Radio-Canada
A
A
A

MONTREAL - KANADA . Seramai 43 orang termasuk 35 pelajar dan lapan dewasa dimasukkan ke hospital susulan kebocoran gas karbon monoksida di sebuah sekolah rendah di Montreal, semalam.

Jurucakap perkhidmatan ambulans berkata, pelajar berusia antara enam hingga 13 tahun serta kakitangan Sekolah Ecole des Decouvreurs di LaSalle, dilaporkan mengalami simptom termasuk pening, mual dan muntah pada kira-kira jam 11.30 pagi waktu tempatan.

Pada awalnya, antara 15 hingga 20 orang termasuk seorang dewasa dilaporkan terkesan, namun selepas sekolah berkenaan dikosongkan dan para pelajarnya dipindahkan ke sekolah berhampiran, beberapa lagi pelajar dan guru mengadu mengalami simptom yang sama.

Insiden dipercayai berkaitan keracunan karbon monoksida, namun punca sebenar masih belum disahkan.

Dalam surat yang dikeluarkan pihak pentadbiran sekolah kepada ibu bapa pelajar, mereka menyatakan kemungkinan terdapat masalah berkaitan sistem pemanasan di sekolah terbabit.

Dalam pada itu, Hospital Kanak-Kanak Montreal mengisytiharkan 'kod oren' menandakan situasi kecemasan membabitkan jumlah mangsa yang ramai.

Pasukan bomba telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, namun pihak pentadbiran sekolah tidak menyatakan sama ada sekolah akan dibuka semula hari ini. - AP

Artikel Berkaitan: